Sekolah Kebangsaan Kuala Kubu Baru Satu merupakan sebuah Sekolah Kebangsaan yang terletak di Jalan Rasathurai. Ia terletak di tengah-tengah pusat bandar pentadbiran Kuala Kubu Bharu. Sekolah ini mempunyai seramai 31 orang guru, 4 orang AKP, 345 orang murid perdana dan 50 orang murid pra sekolah.
Sekolah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu Satu didirikan pada tahun 1952 dengan nama Government English School. Sekolah ini merupakan sekolah Inggeris yang pertama di Daerah Hulu Selangor. Sekolah ini bermula dengan lima buah kelas yang terdiri daripada 121 orang pelajar dan enam orang guru. Nama guru besar pada masa itu tidak diketahui tetapi apa yang pasti di antara tahun 1952 sehingga 1954 guru besar sekolah ini ialah Puan Leembrugan.
Pada masa itu, pelajar semakin bertambah dan pada tahun 1960 kelas-kelas rendah (Darjah 1-6) dipisahkan dari kelas-kelas menengah kepada dua buah sekolah iaitu National Type Primary School dan Government English Secondary School. Guru Besar pertama National Type Primary School (English) ialah En. H.S. Christhoper. Apabila Bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar di semua sekolah di Malaysia, nama sekolah ditukarkan menjadi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) dan sekolah ini dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi dan petang.
Pejabat sekolah masih ditempatkan di bangunan sekolah menengah dan kantin digunakan oleh kedua-dua buah sekolah. Pada tahun 1961, pejabat sekolah rendah dibina dan terus berpindah ke pejabat yang digunakan sehingga sekarang. Pada tahun 1967 satu blok 2 tingkat didirikan. Blok ini mengandungi 8 kelas tetapi kelas masih tidak mencukupi dan berfungsi dalam dua sesi. Blok baharu ini dirasmikan oleh YB Menteri Pelajaran semasa itu, En. Khir Johari pada bulan Mac 1969. Pada 1 November 1969, En. Gurdeep Singh mentadbir sekolah ini dan bilangan kelas meningkat kepada 24 bilik darjah. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 Jun 1970 apabila SRJK (Inggeris) ini dipisahkan kepada dua pentadbiran dan sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Satu) Kuala Kubu Bharu manakala yang satu lagi dikenali sebagai Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Dua) Kuala Kubu Bharu.
Kedua-dua buah sekolah mendapat 12 bilik darjah dan bilangan murid juga dibahagi dua iaitu lebih kurang 500 orang. Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Dua) ditadbir oleh Pn. Avirathnam Francis manakala Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Satu) terus ditadbir oleh En. Gurdeep Singh sehingga beliau bertukar ke Rawang mulai 31 Disember 1978. Pada tahun 1997 nama sekolah ini ditukarkan sekali lagi kepada Sekolah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu Satu. Sekolah ini terus maju dalam bidang akademik dan kokurikulum. Pada bulan September 1984, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Dua) mendapat bangunan tambahan dan mulai 1985, kedua-dua buah sekolah berfungsi dalam satu sesi sahaja.