Kata kunci soalan ini namakan jadi bagi soalan ini calon hanya perlu senaraikan dua undang-undang tersebut tanpa perlu menghuraikannya.
Hukum Kanun Melaka
Undang-undang Laut Melaka
Calon perlu menjelaskan ciri-ciri yang terdapat dalam Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka seperti dalam jawapan di atas menggunakan fakta di bawah. (Rujuk buku teks tingkatan 4 muka surat 10).
Hukum Kanun Melaka
Hukum Kanun Melaka mengandungi 44 Fasal yang membincangkan antaranya termasuklah jenayah, bidang kuasa sultan dan pembesar, kekeluargaan dan hal berkaitan dengan ekonomi.
Antara ciri-ciri dalam undang-undang ini ialah terdapat pelbagai hukuman setimpal dikenakan terhadap perbuatan jenayah seperti membunuh, menikam dan mencuri. Antara kesalahan yang boleh dikenakan hukuman bunuh termasuklah seseorang yang didapati membunuh orang lain tanpa pengetahuan raja atau pembesar, maka dia akan dihukum bunuh. Hukuman bunuh dikenakan kepada sesiapa yang ingkar arahan dan memalsukan titah sultan.
Dalam undang-undang ini juga terdapat fasal yang menjelaskan peranan Sultan dan Pembesar. Setiap pembesar Melaka mempunyai peranan dalam pentadbiran dan mereka juga perlu arif dalam hal berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang. Contohnya, dalam Fasal 1, dijelaskan tugas Sultan, Bendahara, Temenggung dan Penghulu Bendahari. Sultan bertanggungjawab untuk melantik pembesar, contohnya Bendahara dan Temenggung.
Undang-undang ini juga memberi perhatian terhadap isu kekeluargaan bertujuan mewujudkan keharmonian dalam keluarga dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh keluarga atau dalam perkahwinan. Antara hukum dalam perkahwinan termasuklah dalam fasal yang menyatakan bahawa pernikahan memerlukan empat orang saksi, jika tidak cukup memadai dua orang sahaja. Hamba abdi dan wanita tidak boleh menjadi saksi dalam pernikahan.
Undang-undang ini mempunyai peraturan yang jelas tentang urus niaga untuk mengawal perdagangan di Melaka agar tidak berlaku sebarang kesalahan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Contohnya, dinyatakan amalan riba diharamkan dalam urusan perniagaan dan orang yang menjalankan perniagaan hendaklah akil baligh, siuman dan perlu melafazkan niat jual beli.
Undang-undang Laut Melaka
Undang-undang ini mengandungi perkara berkaitan dengan peranan nakhoda, pelayaran, jenayah di atas kapal dan percukaian.
Antara ciri penting undang-undang ini ialah berkaitan peranan nakhoda. Nakhoda berkuasa penuh dan diibaratkan sebagai raja dalam pelayaran. Semua pihak harus mematuhi arahan dan perintah nakhoda. Nakhoda perlu diberikan keutamaan untuk berniaga selama empat hari. Sekiranya nakhoda hendak singgah di tempat yang tidak ada dalam senarai persinggahan, nakhoda perlu bermesyuarat dengan semua orang di dalam kapal untuk mendapatkan persetujuan.
Dalam undang-undang ini, dijelaskan peranan beberapa pegawai selain nakhoda, antaranya termasuklah jurumudi, malim dan jurubatu. Pelaksanaan peranan masing-masing akan menjadikan pelayaran selamat dan lancar. Seorang malim harus arif tentang ilmu pelayaran. Malim perlu mengetahui keadaan ombak, arus dan kedudukan bulan dan bintang agar pelayaran berada dalam keadaan selamat. Dalam fasal yang sama, jika malim lalai dalam menjalankan tugas sehingga menyebabkan pelanggaran dan kerosakan, dia akan dijatuhi hukuman bunuh.
Undang-undang ini menjelaskan hukuman terhadap perbuatan jenayah yang berlaku meliputi perbuatan mencuri, membunuh dan memberontak. Contohnya, seseorang yang berkelakuan jahat dan membunuh orang di atas kapal, maka orang tersebut akan dikenakan hukuman mati.
Percukaian yang sistematik dan adil dinyatakan dalam undang-undang ini. Pelbagai cukai dikenakan dalam urusan pelayaran untuk perdagangan. Contohnya, cukai perjalanan dan hasil perniagaan. Nakhoda menentukan jumlah cukai yang dikenakan terhadap penumpang, iaitu satu persepuluh daripada hasil penumpang sekiranya penumpang ingin turun sebelum sampai janjinya sama ada tiga tahun, tiga bulan atau tiga hari.
Soalan ini ialah merupakan soalan berbentuk KBAT, calon perlu mengemukakan jawapan yang rasional menggunakan idea sendiri berdasarkan pemikiran kritis calon. Di bawah ialah fakta-fakta yang boleh digunakan untuk menjawab soalan ini. Jawapan perlu dalam bentuk perenggan (perlu ada huraian dan contoh)
Menstabilkan keadaan politik
Mengelak rampasan kuasa
Mewujudkan pemerintahan yang berkesan
Membantu kerajaan mentadbir negara secara lancar
Menjamin kesejahteraan masyarakat
Mewujudkan keamanan Mengelakkan huru-hara
Mengurangkan kes jenayah