Antara faktor penubuhan Persekutuan Tanah Melayu ialah penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union . Orang Melayu, Raja-raja Melayu, cendekiawan Melayu dan UMNO telah berganding bahu membantah pelaksanaan Malayan Union. Hal ini disebabkan oleh Malayan Union memberikan kesan buruk kepada Raja-raja Melayu dan orang Melayu. Ahli Parlimen British, iaitu Gammans dan Rees Williams telah menyaksikan bantahan orang Melayu terhadap Malayan Union. Mereka melaporkan hasil tinjauan tersebut kepada Dewan Parlimen British selepas kembali ke England. Gammans menyatakan bahawa sekiranya British melaksanakan rancangan Malayan Union keadaan huru-hara akan berlaku di Tanah Melayu. Ketika pelbagai penentangan dan bantahan dilakukan, persediaan untuk menggubal Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah dijalankan melalui rundingan Raja-raja Melayu, UMNO dan British.
Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan juga disebabkan cadangan Raja-raja Melayu dan UMNO. Malcolm MacDonald, Gabenor Jeneral dan Sir Edward Gent, Gabenor Malayan Union mengadakan pertemuan dan perundingan dengan Raja-raja Melayu di Kuala Kangsar pada 27 Mei 1946 untuk mengatasi konflik masyarakat Melayu dengan kerajaan British berhubung dengan isu Malayan Union. Dalam pertemuan tersebut, Raja-raja Melayu mencadangkan agar penubuhan persekutuan bertaraf naungan dan bukannya tanah jajahan sebagai perjanjian baharu untuk menggantikan Malayan Union, jawatan Pesuruhjaya Tinggi menggantikan Gabenor, Raja berkuasa dalam perundangan. Perkataan “Negeri-negeri Melayu” perlu muncul dalam persekutuan yang baharu. Sultan Perak sebagai jurucakap Raja-raja Melayu menjelaskan kepada Sir Edward Gent agar mendesak British menerima usul pembentukan persekutuan sebelum membincangkan perkara lain. Gammans dan Rees Williams menyampaikan surat bantahan daripada Sultan Perak di Parlimen British.
Persekutuan Tanah Melayu juga ditubuhkan juga disebabkan oleh sokongan Pentadbir British. Pentadbir British menyokong konsep persekutuan kerana dapat mewujudkan keamanan, kestabilan dan kemajuan ekonomi. Terdapat pegawai tinggi British mendorong British membentuk Persekutuan Tanah Melayu. Antaranya termasuklah Sir Edward Gent, Malcolm MacDonald, Sir Ralph Hone, Gammans, A.T. Newboult, Roland Braddell, W. Linehan dan Theodore Adams. Sir Ralph Hone mencadangkan agar British melibatkan Raja-raja Melayu dalam pentadbiran berasaskan perlembagaan. Misalnya, memberikan kuasa tertentu kepada sultan dalam Majlis Negeri dan Majlis Perundangan. Pada bulan Mei 1946, Sir Edward Gent bertemu dengan wakil UMNO di Pulau Pinang. Seterusnya, pada 18 Julai 1946, di King’s House, Kuala Lumpur, British memberikan peluang kepada Dato’ Onn Jaafar dan Raja-raja Melayu mengemukakan cadangan balas. Pembentukan Persekutuan mewujudkan politik yang stabil. Keadaan ini akan mendorong pelabur luar untuk melabur di negara ini. Pada masa yang sama, British perlu melaksanakan dasar dekolonisasi yang disarankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Piagam Atlantik
Soalan di atas berbentuk KBAT yang memerlukan calon menjana idea. Di bawah ialah cadangan isi utama yang boleh digunakan.
Kita harus mempertahankan kedaulatan negara
Kedaulatan adalah “cerminan Malaysia merdeka”
Bekerjasama memelihara keamanan negara
Memastikan politik negara stabil
Menjaga kemakmuran negara
Kukuhkan perpaduan kaum
Berwaspada dengan ancaman luar
Membentuk generasi berilmu