BORANG PERMOHONAN KEMASUKAN PELAJAR TING 1 & 4 SESI 2026 KINI TELAH DIBUKA
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melancarkan Program Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi sebagai inisiatif untuk memperkukuhkan amalan nilai-nilai murni dan meningkatkan kesedaran serta kefahaman agama Islam di kalangan guru dan murid. Program ini diperkenalkan melalui Surat Siaran KPM Bil. 5 Tahun 2024, di mana setiap institusi pendidikan bawah KPM akan melaksanakan aktiviti penghayatan Hadis 40 mulai tahun 2024.
Program ini bertujuan untuk mendidik dan membentuk individu yang berakhlak mulia, beretika, dan berintegriti. Program ini juga dirangka agar dapat melibatkan seluruh warga sekolah dalam proses pembelajaran dan penghayatan hadis secara mendalam dan berkesan.
Hadis 40 Imam Nawawi, atau juga dikenali sebagai "Al-Arba'in al-Nawawiyyah," adalah koleksi 42 hadis yang dikumpulkan dan disusun oleh Imam Yahya bin Syaraf al-Nawawi. Beliau merupakan seorang ulama terkenal dalam bidang hadis dan fiqh pada abad ke-13. Karya ini dianggap penting kerana hadis-hadis yang dipilih oleh Imam Nawawi merangkumi asas-asas ajaran Islam yang perlu difahami dan diamalkan oleh setiap Muslim.
Hadis-hadis ini meliputi pelbagai aspek kehidupan seperti akidah, ibadah, akhlak, dan muamalat. Contoh-contoh hadis yang terdapat dalam koleksi ini termasuklah hadis tentang niat, pentingnya solat, menjaga lidah daripada berkata-kata yang buruk, dan banyak lagi. Setiap hadis di dalam koleksi ini memberikan panduan praktikal kepada umat Islam tentang bagaimana untuk menjalani kehidupan yang berlandaskan ajaran Islam dan mencapai keredaan Allah SWT.
Pada 7 Mei 2024 Sekolah Menengah Agama Daeratul Maarifil Wataniah 1 telah diberi penghormatan sebagai salah sebuah sekolah showcase untuk Program Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi. Program ini melibatkan pelbagai aktiviti seperti bacaan dan syarahan hadis, perbincangan dan refleksi, serta aplikasi praktikal dalam kehidupan seharian. Guru, staf, dan murid di sekolah ini akan diajar dan digalakkan untuk menghayati hadis-hadis ini dengan bimbingan modul yang disediakan oleh KPM.
Melalui program ini, SMA DMW1 berharap dapat memperkukuhkan kefahaman agama dalam kalangan seluruh warga sekolah dan komuniti setempat serta meningkatkan nilai-nilai moral dan etika dalam kehidupan seharian. Dengan adanya program seperti ini, SMA DMW1 yakin bahawa ia akan membawa impak yang positif kepada pelajar dan mendorong mereka untuk menjadi individu yang berakhlak mulia dan berjiwa murni.