Program Pengesanan Perkembangan dan Intervensi Murid Prasekolah (ProsPIM) tahun 2024 merupakan inisiatif Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), yang bertujuan memastikan perkembangan optimum bagi setiap murid prasekolah bawah KPM selain mendapat perhatian dan bimbingan yang sewajarnya dalam aspek perkembangan dan intervensi dalam pembelajaran.
ProsPIM menggunakan pendekatan sistematik melalui penggunaan Senarai Semak Pengesanan Perkembangan (SSP) untuk mengenal pasti kelewatan perkembangan pada murid prasekolah berumur 4 hingga 6 tahun. Setelah proses pengenalpastian dilaksanakan, intervensi yang relevan akan dilaksanakan oleh guru prasekolah menggunakan Kit Intervensi Perkembangan Murid Prasekolah.
Pengesanan awal ini penting untuk:
Mengenal pasti tahap perkembangan kanak-kanak.
Mengenal pasti tanda-tanda kelewatan perkembangan yang memerlukan intervensi segera.
Mengenal pasti keperluan rujukan kepada profesional kesihatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Merancang intervensi yang sesuai dan perkhidmatan sokongan yang diperlukan oleh kanak-kanak.
Menyediakan program pendidikan yang disesuaikan mengikut keperluan setiap kanak-kanak.
Matlamat utama ProsPIM adalah untuk memastikan semua murid prasekolah mencapai tahap perkembangan yang sewajarnya berdasarkan umur mereka. Program ini turut membantu guru dalam mengenal pasti keperluan pengesanan perkembangan awal kanak-kanak serta menyediakan intervensi pembelajaran tambahan yang sesuai untuk murid yang memerlukan.
ProsPIM dirangka dengan beberapa objektif utama, antaranya:
Pengesanan Awal: Guru menggunakan Senarai Semak Pengesanan Perkembangan Bayi dan Murid (SSP) bertujuan untuk mengesan sebarang isu atau kelewatan dalam perkembangan murid prasekolah pada umur 4 hingga 6 tahun;
Intervensi Berstruktur: Berdasarkan hasil pengesanan, intervensi yang bersesuaian akan dirangka dan dilaksanakan melalui Kit Intervensi Perkembangan Murid Prasekolah. Intervensi ini melibatkan guru dan juga ibu bapa sebagai pelaksana utama kepada perkembangan dan pembelajaran yang holistik untuk murid prasekolah;
Latihan: Program ini juga melibatkan latihan intensif kepada Jurulatih Utama Kebangsaan ProsPIM melalui bengkel penataran berpusat. Bengkel Latihan ‘Training of Trainers’ telah dilaksanakan di dua lokasi iaitu Hotel Seri Malaysia Pulau Pinang dan Klana Beach Resort Port Dickson; dan
Penataran: Sebanyak 96 siri Bengkel Penataran ProsPIM kepada guru prasekolah telah dilaksanakan di seluruh negara.
Pengukuran keberkesanan program ini akan dilaksanakan berdasarkan dua indikator utama iaitu:
i. Bilangan guru prasekolah yang menerima latihan menggunakan Senarai Semak Perkembangan (SSP).
ii. Bilangan murid prasekolah yang disemak menggunakan SSP.
Data ini akan membantu dalam menilai keberkesanan latihan kepada guru dan pelaksanaan senarai semak perkembangan terhadap murid prasekolah.
Pelaksanaan ProsPIM melibatkan kerjasama dengan pelbagai rakan strategik dari Bahagian KPM. Antara rakan strategik yang terlibat adalah:
i. Bahagian Pendidikan Khas (BPKhas) sebagai peneraju;
ii. Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH)
iii. Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK)
iv. Bahagian Pendidikan Islam (BPI)
v. Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV)
vi. Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM)
vii. Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)
viii. Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)