CIKGU FARHANA
GURU CEMERLANG PEMULIHAN KHAS
SK SUNGAI KERTAS
SK SUNGAI KERTAS
Nama : Farhana Bt Abd Ghani
Tarikh Lahir : 11 November 1982
Hobi : Fotografi
Pengalaman Mengajar :
2008 - Guru Ganti SK Temoyong, Langkawi
2009 - Guru Praktikal SK Ewa, Langkawi
2010 hingga kini - Guru Pemulihan, SK Sg Kertas, Selangor
Minat Mengajar :
Dilahirkan dalam keluarga pendidik, saya dibesarkan dengan nilai ilmu dan keikhlasan sebagai teras kehidupan. Ayahanda, Ustaz Abd Ghani bin Hussain, merupakan tokoh guru yang dikenali dan dihormati di Langkawi. Beliau bukan sahaja seorang pendidik yang berdedikasi, malah idola serta mentor utama saya dalam bidang pendidikan. Walaupun telah bersara secara rasmi, khidmat bakti beliau dalam mendidik masyarakat tidak pernah terhenti sehingga ke hembusan nafas terakhir.
Ibunda tercinta, Ustazah Aishah binti Md Noor, juga merupakan seorang guru yang amat disegani. Seperti ayahanda, beliau tidak pernah berhenti menyumbangkan jasa dan baktinya sebagai pendidik, mendidik dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan.
“Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.” Pepatah ini amat bertepatan menggambarkan perjalanan hidup saya sebagai anakanda kepada dua insan pendidik. Alhamdulillah, dengan berkat doa, tunjuk ajar dan didikan mereka, saya berjaya mengharungi laluan yang pada pandangan umum kelihatan mudah, namun hakikatnya menuntut keteguhan jiwa dan kesabaran yang tinggi.
Siapa sangka, pada awal penglibatan saya dalam dunia pendidikan, minat yang mendalam belum lagi bersemi. Namun, menyaksikan kehebatan, ketelusan dan keikhlasan kedua-dua orang tua saya yang tidak pernah jemu mendidik ummah—dalam erti kata lain, tidak pernah benar-benar bersara daripada dunia pendidikan—mereka menjadi sumber inspirasi, motivasi dan talian hayat buat saya. Dari situlah, perlahan-lahan saya jatuh cinta dengan dunia pendidikan.
Kini, meskipun mereka telah tiada ketika saya sudah mampu berdiri teguh dengan sendiri, insya-Allah amanah dan tanggungjawab ini akan terus saya perjuangkan hingga ke akhir hayat. Segala didikan dan tunjuk ajar arwah ayah dan bonda, disertai sokongan rakan-rakan seperjuangan mereka serta para murabbi dari bangku sekolah rendah sehingga saya bergelar seorang guru, menjadi bekalan paling berharga dalam perjalanan ini.
"If you don't have passion, you can't be a teacher."
Pak Aziz
"Our Lord, let not our hearts deviate after You have guided us and grant us from Yourself mercy. Indeed, You are the Bestower.
[3:8]