Lembaran kerja merupakan satu daripada kaedah penilaian PBD bagi mengukur tahap penguasaan murid terhadap topik yang diajar. Untuk penilaian PBD melalui lembaran kerja, guru telah menggunakan kaedah penyelesaian masalah. Hal ini dikatakan demikian kerana, murid perlu memahami konteks pembelajaran pada hari tersebut bagi membolehkan mereka mengaplikasikannya dalam lembaran kerja yang diberikan. Untuk menggunakan kaedah ini, guru seharusnya mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk murid dapat meneroka idea dengan bernas serta mengaitkan topik pembelajaran lembaran kerja yang diberikan(Orlich et. al., 2007).
Dari segi aktiviti pula, guru menjadikan lembaran kerja ini sebagai pengukuhan kepada murid. Ini dikatakan demikian kerana, guru menggunakan lembaran kerja pada langkah 3 melalui Rancangan Pengajaran Harian(RPH) yang disediakan oleh guru serta menjadikannya sebagai tugasan individu bagi mengukur tahap pemahaman murid. Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), pengukuhan didefinisikan sebagai peneguhan terhadap sesuatu perkara. Hal ini selari dengan lembaran kerja yang diberikan guru, yang berfungsi sebagai pengukuhan ilmu yang diperoleh murid pada hari berkenaan.
Berkenaan tajuk yang dipilih pula, guru memilih Unit 15 Kesenian Masyarakat Orang Asli di bawah tema Kebudayaan, Kesenian dan Estetika. Dalam buku Teks bahasa Melayu, tajuk yang dipilih ialah Indahnya Seni dan Budaya Kita. Dengan menilai RPH yang dibina guru, didapati pemilihan standard kandungan(SK) 3.3 menghasilkan penulisan dan standard pembelajaran(SP) 3.3.2 mengedit dan memurnikan hasil penulisan daripada aspek penggunaan kata dipilih. Hal ini menunjukkan bahawa guru akan mendedahkan murid dengan kemahiran menulis dengan kejayaan murid diukur berdasarkan kebolehan murid untuk memurnikan teks dengan baik dan menjadi standard prestasi(SPi) terhadap sesi PdPc tersebut.
Berdasarkan semua aspek di atas, lembaran kerja yang diberikan dilihat mampu menjadi instrumen penilaian PBD yang berkesan. Hal ini dikatakan demikian kerana, penggunaan aplikasi dalam talian seperti ‘WordWall’ mendedahkan murid kepada teknologi. Hal ini dibuktikan bahawa penggunaan media teknologi canggih ini mampu meningkatkan keberkesanan pemahaman murid terhadap sesuatu pembelajaran. Hal ini turut disokong oleh kajian yang dilakukan oleh Che Suriani et al (2020) bahawa penggunaan media digital mampu membantu memudahkan serta melancarkan perjalanan PdPc merentasi pemikiran kanak-kanak generasi hari ini.
Seterusnya, pengukuhan merupakan sesuatu yang sangat penting dalam PdPc. Maka, pemilihan instrumen ini adalah tepat kerana mengaitkan dengan topik yang dipelajari pada hari berkenaan. Kemahiran mengajar yang diakhiri dengan latihan pengukuhan akan menjadikan sesi PdPc lebih sistematik(Abdul Halim & Mohamad Khairul, 2010). Hal ini turut disokong oleh Ainurrahmah et al(2021), yang mengaitkan penggunaan kemahiran peneguhan dengan pengajaran bahasa Melayu. Secara rumusannya, SK, SP, SPi yang ditetapkan oleh guru adalah berjaya dan berkesan. Ini terbukti apabila instrumen yang dibuat adalah relevan dan berkesan.