Sasterawan Negara merupakan gelaran tertinggi yang diberikan kepada penulis-penulis Melayu yang telah memberi sumbangan besar dalam dunia kesusasteraan Malaysia. Sehingga kini, 15 individu telah diiktiraf sebagai Sasterawan Negara kerana karya-karya mereka yang bukan sahaja memperkayakan bahasa dan budaya, tetapi juga mencerminkan pemikiran dan nilai-nilai luhur masyarakat Malaysia. Para Sasterawan Negara ini memainkan peranan penting dalam memperjuangkan bahasa, membentuk jati diri bangsa, serta menyuarakan permasalahan sosial melalui karya-karya sastera yang mendalam dan bermakna.
Kamaluddin Muhamad ialah seorang Sasterawan Negara Malaysia 1981. Beliau lebih dikenali sebagai Keris Mas. Beliau seorang wartawan, editor, pentadbir sastera, sasterawan, dan pengkritik.
Beliau dilahirkan di Kampung Ketari, Bentong, Pahang pada 10 Jun 1922 dan menerima pendidikan di Sekolah Melayu Bentong dan Sekolah Tawalib di Sumatera iaitu sebuah sekolah menengah dengan pengantar bahasa Indonesia dan bahasa Arab.
Seterusnya, beliau menyambung pelajaran di Kolej Kulliahtul Muallimin Al-Islamiah, Sumatera (Maktab Perguruan Islam) bagi melayakkan beliau menjadi seorang guru. Beliau juga mempelajari bahasa Belanda.
Kemudian, beliau belajar di Pitman College, Singapura (1940) untuk mengambil peperiksaan matrikulasi Universiti London. Namun, pengajiannya terhalang kerana Perang Dunia Kedua meletus.
Shahnon Ahmad sebagai pengarang yang bukan sahaja terkenal kerana novelnya Ranjau Sepanjang Jalan dan Rentong, atau kerana kerap kali memenangi Hadiah Karya Sastera tetapi kerana beliau adalah seorang penulis berbakat, serius dan mempunyai falsafahnya sendiri.
Beliau bukan menulis hasil-hasil kesusasteraan hanya untuk bersastera semata-mata, tetapi beliau adalah seorang pencari yang sentiasa mencuba memperbaiki seninya dengan pelbagai gaya dan pendekatan, meneroka ke alam fikiran untuk memperkayakan lagi isi karangannya, dan sentiasa mempertimbangkan falsafahnya sebagai seorang penulis sehingga benar-benar mencapai kebenaran.
Tambahan lagi, beliau dilahirkan pada 13 Januari 1933 di Banggul Derdap, Sik, Kedah Darul Aman. Beliau mula berkarya pada pertengahan tahun 1950-an, namun dalam masa 10 tahun, beliau telah muncul sebagai penulis yang mempunyai bakat besar. Beliau adalah seorang penulis yang begitu sensitif terhadap peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di dalam dan di luar masyarakat bangsanya.
Usman Awang sebagai seorang tokoh dalam kesusasteraan Melayu moden, khususnya sajak dan drama amat banyak diperkatakan. Justeru, nama Usman Awang paling terkenal di kalangan pengkaji dan peminat sastera Melayu pada pelbagai peringkat dan golongan.
Kejayaannya mempertahankan dirinya sebagai seorang penyair dan budayawan yang terus kreatif memberikan semacam keteguhan terhadap tradisi baharu sastera kita. Beliau seorang penyair yang tidak pernah pudar dan sentiasa dapat menyesuaikan dirinya dalam pelbagai zaman dan situasi.
Usman Awang dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor Darul Takzim. Pendidikan yang diterimanya setakat sekolah Melayu sahaja. Situasi dan keluarganya yang miskin tidak membolehkan beliau untuk meneruskan pendidikannya. Beliau disekolahkan di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937), dan Bandar Maharani Muar (1940) hingga lulus darjah VI. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942, Usman Awang menjadi petani di Segamat.
A. Samad Said, seorang pengarang Melayu yang agak unik dan tersendiri dalam perkembangan penulisannya yang dimulai dengan puisi dan cerpen, kemudian meningkat kepada penulisan novel, drama dan kritikan sastera. Sejak giat mengarang dalam tahun 1950, beliau telah memperlihatkan kekuatan daya kreatif yang sentiasa berkembang dan lebih bersifat meneroka.
Sumbangan A. Samad Said kepada kesinambungan kesusasteraan Melayu kelihatan cukup menyerlah kerana beliau ialah penulis yang begitu menonjol dalam perkembangan kesusasteraan Melayu yang menyambungkan ASAS 50 dengan angkatan sesudahnya. Beliau dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka.
Semasa berumur enam bulan, beliau dibawa oleh keluarganya ke Singapura dan beliau mendapat pendidikan asas dan menengahnya di sana. Beliau belajar di Sekolah Melayu Kota Raja hingga lulus darjah IV (1940 - 1946) sebelum meneruskan pengajiannya dalam kelas petang di Victoria Institution. Dari situ, beliau belajar sendiri hingga memperoleh sijil Senior Cambridge (1956).