KATA ALU-ALUAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, saya mewakili ahli Bidang Bahasa, diberi kesempatan, kesungguhan dan kekuatan untuk memikul amanah sebagai pendidik dan Guru Kanan Matapelajaran di SMK Bandar Sungai Petani.
Bidang Bahasa menawarkan 4 mata pelajaran iaitu terdiri daripada:
Bahasa Melayu
Bahasa Inggeris
Bahasa Cina
Bahasa Tamil
Bidang bahasa memerlukan pelajar-pelajar bukan sahaja perlu menguasai kecekapan berbahasa dan ketepatan berkomunikasi tetapi juga perlu memahami sistem bahasa yang mampu mengungkapkan segala bidang ilmu dan kegiatan harian, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu pengetahuan. Matlamat yang terkandung dalam Dasar Pendidikan negara dan perkara yang dikemukakan dalam Kurikulum Mata Pelajaran Bahasa Melayu adalah sejajar dengan pandangan yang dikemukakan oleh para sarjana. Bahasa tidak sahaja ditanggapi oleh para sarjana sebagai terdiri daripada aspek kenahuan tetapi juga aspek yang berkaitan dengan kebudayaan dan sistem nilai masyarakat yang menggunakan bahasa tersebut.
Oleh itu, kami guru-guru bidang bahasa menetapkan matlamat untuk memastikan peningkatan penguasaan semua bahasa serta meningkatkan pencapaian dalam semua penguasaan bahasa dan membentuk modal insan yang fasih dan menguasai kemahiran tatabahasa dalam semua bahasa yang dipelajari di sekolah ini.
Selain itu, kami guru-guru bidang bahasa akan membantu dan memastikan pihak sekolah dapat merealisasikan visi dan misi sekolah tercapai. Umum mengetahui bahawa bahasa Melayu merupakan salah satu subjek wajib lulus bagi semua pelajar. Sehubungan dengan itu, guru-guru bidang bahasa terutamanya guru mata pelajaran bahasa Melayu akan merancang dan melaksanakan program-program yang terbaik untuk menjayakan hasrat ini.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak. Saya akhiri dengan serangkap pantun.
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi.
Yang indah itu bahasa.
Terima kasih.