ASAL - USUL BAHASA MELAYU
Bahasa sering dikaitkan dengan salasilah bangsa. Asal-usul orang Melayu, iaitu penutur asli bahasa Melayu amat kabur kerana sejarah kuno Asia Tenggara masih belum diselidiki dengan mendalam.
Walau bagaimanapun, kita dapat mengetahui secara kasar latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu kuno, iaitu nenek moyang orang Melayu.
Beberapa teori telah mengatakan bahawa penutur bahasa Melayu berasal daripada golongan manusia yang diberi nama Austronesia. Mereka datang dari daerah Yunan dan menjelajah ke Selatan, dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia, dan menduduki wilayah Asia Tenggara.
Ini berlaku sejak tahun 2500 sebelum Masihi, iaitu dengan kedatangan golongan pertama yang disebut Melayu Proto; kemudian, kira-kira dalam tahun 1500 sebelum Masihi, datang pula gelombang yang kedua, golongan yang disebut Melayu Deutro. Mereka ini telah menduduki daerah pantai dan tanah lembah di Asia Tenggara, dan telah memperlihatkan kepandaian belayar dan bercucuk tanam.