LATIHAN 2

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang faedah permainan tradisional. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Warisan negara merupakan harta dan kekayaan bangsa yang tidak dapat dijual beli serta memiliki nilai pengajaran yang dapat kita timba sewaktu menekuninya. Namun begitu, permainan tradisional semakin lama semakin tidak mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana permainan tradisional dianggap kolot dan membosankan oleh sesetengah pihak. Oleh sebab itu, kita mestilah mengetahui faedah permainan tradisional kepada remaja.

Antara faedah permainan tradisional kepada remaja termasuklah dapat mengisi masa lapang remaja secara berfaedah. Remaja masa ini gemar melepak di pusat beli- belah dan membuang masa mereka dengan sia-sia. Namun begitu, permainan tradisional dapat mengelakkan situasi tersebut daripada berlaku. Remaja dapat mempelajari ilmu permainan tradisional dan mengetahui kepentingan nilai kesabaran dalam diri. Selain itu, remaja akan belajar untuk menghargai masa.

Permainan tradsional juga menjadi ejen penting untuk mengeratkan silaturahim antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan dan pershabatan dapat dieratkan sewaktu bermain permainan tradisional. Sebagai contohnya, remaja boleh bermain sepak raga bersama-sama rakan dan dapat berkenalan dengan kawan-kawan baharu. Dengan cara ini, remaja dapat menjalin hubungan persahabatan yang lebih luas.

Seterusnya, permainan tradisional dapat memupuk semangat kerjasama dan persefahaman. Semasa bermain, remaja dapat memahami kelebihan dan kelemahan kawan, serta lawan mereka. Permainan wau misalnya,dapat membentuk semangat kerjasama antara satu sama lain untuk menaikkan wau tersebut. Hal ini dapat membentuk prinsip kehidupan yang saling memerlukan bagai aur dengan tebing. Remaja juga dapat memelihara warisan budaya bangsa daripada pupus. Remaja dapat mengenali dan mempelajari seni yang terkandung dalam permainan tradisional. Oleh hal yang demikian, seni warisan bangsa ini tidak akan pupus ditelan zaman kerana tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

Kesimpulannya, terdapat banyak faedah permainan tradisional kepada remaja. Permainan tradisional perlu dihidupkan semula sebelum terkubur. Dalam hal ini semua pihak perlu bekerjasama agar generasi muda zaman ini menjadikan permainan tradisional sebagai aktiviti yang membanggakan bangsa. Permainan tradisonal masih relevan dalam zaman globalisasi ini.


SUMBER : WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU PT3 & SPM 2020

Join chat : http://t.me/joinchat/GWYICUlDrYiAiv1FB2Z54A

Email : izzathakim74@gmail.com