Pada tahun 2006, Bahagian Sekolah, (2010 - Bahagian Kokurikulum dan Kesenian) Kementerian Pendidikan Malaysia telah melaksanakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum. Majlis tersebut diadakan bertujuan untuk memberikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada murid, guru dan pegawai yang menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang kokurikulum dan kesenian. Pihak Unit Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Kedah mengambil inisiatif mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum (AKK) Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 dengan mengguna pakai instrumen penilaian yang digunakan di peringkat kebangsaan sesi persekolahan 2023/2024. Pelaksanaan AKK Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 diharapkan dapat memberikan semangat dan motivasi kepada semua murid, guru dan pegawai untuk sentiasa bergiat aktif dalam bidang kokurikulum dan kesenian, seterusnya dapat membantu merealisasikan dan menyokong hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu penekanan terhadap aspek Karamah Insaniah, Pendidikan Manusiawi dan Tujuh Teras Utama Pendidikan.
Anugerah ini diberi kepada murid, pasukan, sekolah dan pemimpin yang telah disahkan dan terbukti memperolehi pencapaian yang cemerlang dalam bidang kokurikulum dalam kategori tertentu dan dipersetujui oleh Jawatankuasa Khas Pemilihan Peringkat Negeri.
Bidang kokurikulum ini bermaksud sebarang kegiatan badan beruniform, kelab & persatuan yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Anugerah khusus kepada guru/pemimpin yang disahkan telah menunjukkan perkhidmatan yang cemerlang dalam bidang pengurusan dan kepimpinan kokurikulum di peringkat kebangsaan.
Bilangan kategori, hadiah dan kriteria pemilihan ditetapkan oleh Jawatankuasa Induk Peringkat Negeri. Penambahan, pengurangan atau pengekalan sesuatu aspek pemilihan pada setiap tahun bergantung kepada keputusan jawatankuasa ini.