Berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum Pelajaran (DSKP) bagi subjek Pendidikan Kesenian, terdapat empat bidang kegiatan yang telah difokuskan dalam sukatan pembelajaran iaitu:
Menggambar
Membuat Corak dan Rekaan
Membentuk dan Membuat Corak
Mengenal Kraf Tradisional
Menggambar
Menurut Noviea (2020), menggambar ialah suatu seni rupa iaitu karya seni yang terdiri daripada unsur bentuk atau rupa. Karya seni rupa ini dapat dibahagi kepada dua iaitu seni rupa (untuk mengekspresikan diri) dan seni rupa terapan (karya yang mempunyai fungsi-fungsi tertentu). Menurutnya lagi, menggambar juga dikenali sebagai seni rupa dua dimensi iaitu karya yang hanya mempunyai dua sisi sahaja (panjang dan lebar) dan tidak mempunyai ruang. Bidang menggambar ialah bidang yang menekankan terhadap kemahiran imaginasi atau persepsi seseorang murid dalam menghasilkan gambar sesuatu objek menggunakan pelbagai teknik dan media. Terdapat pelbagai aktiviti bidang menggambar yang boleh dilakukan oleh seseorang murid seperti aktiviti catan, cetakan, lukisan dan kolaj.
Membuat Corak dan Rekaan
Membuat Corak dan Rekaan merujuk kepada suatu latihan yang mana membolehkan seseorang berfikir dan mengasahkan bakat kreativitinya dan sebagainya (Mazlina, 2021). Corak membawa maksud motif yang disusun sama ada secara terancang, teratur atau bebas. Bidang ini membolehkan murid mengenali dan menambah pengetahuan mereka tentang motif dan cara untuk menghasilkannya. Corak terdiri daripada dua jenis iaitu corak terancang dan corak tidak terancang (Humaira, n. d.). Corak boleh dijumpai pada pelbagai sumber seperti alam semula jadi, bahan buatan manusia, geometri mahupun pada kraf tangan.
Membentuk dan Membuat Binaan
Membentuk dan membuat binaan merupakan suatu aktiviti yang mana memerlukan seseorang murid itu untuk menghasilkan karya berbentuk tiga dimensi iaitu mempunyai panjang, lebar dan tinggi atau dengan kata lain ia mempunyai isipadu yang tersendiri. Hal ini juga bermaksud karya yang dihasilkan tersebut akan mempunyai ruang di dalamnya. Terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan semasa melaksanakan aktiviti ini termasuklah memberi perhatian terhadap segi bentuk, struktur, kestabilan dan imbangan sesuatu karya yang dihasilkan (Mandy, 2013). Dari segi pemilihan alat dan bahan untuk menghasilkannya pula adalah bebas yang mana seseorang itu boleh memilih apa-apa sahaja bahan yang ingin digunakan seperti soft board, barangan kitar semula dan banyak lagi. Apabila mempelajari bidang ini, seseorang murid akan mempelajari pelbagai aktiviti seperti membentuk boneka, arca asemblaj, arca timbul, model, diorama, arca mobail, arca stabail, topeng dan origami.
Mengenal Kraf Tradisional
Menurut Salleh (2020), kraf merujuk kepada apa-apa barangan seni yang mengandungi unsur-unsur kebudayaan atau tradisional yang mana barangan ini dihasilkan dengan menggunakan kemahiran tangan. Hal ini bermaksud penghasilan kraf adalah banyak bergantung kepada kemahiran tangan seseorang iaitu untuk mereka bentuk sesebuah barangan itu sama ada dengan menggunakan alat atau pun tidak. Istilah tradisional pula berasal daripada perkataan ‘traditio’ yang membawa maksud suatu perbuatan mewarisi atau mewariskan sesuatu perkara dari satu generasi kepada generasi lain (Shazlin, 2013). Perkara yang diperturunkan kepada generasi seterusnya ini boleh terdiri daripada pemikiran, adat atau budaya. Apabila digabungkan perkataan ‘kraf’ dan ‘tradisional’, ia akan membawa maksud suatu aktiviti yang dilakukan dengan menggunakan kemahiran tangan yang mana telah diperkenalkan oleh satu generasi dan kemudian diperturunkan kemahiran tersebut kepada generasi-generasi selepasnya (Shamsul, 2014). Antara contoh kraf tradisional adalah seperti anyaman, tenunan, batik, ukiran dan tembikar.