Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) merupakan sebuah Badan Berkanun Persekutuan yang diletakan di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT). Latar belakang penubuhan LPL dibahagikan kepada dua fasa, iaitu fasa operasi awal di bawah peluasan kuasa dan penetapan semula statusnya sebagai Lembaga Persekutuan yang berasingan pada tahun 2024. Tujuan utama LPL adalah untuk bertindak sebagai Pihak Berkuasa dan Badan Kawal Selia Pelabuhan Labuan, dengan lokasi operasi di Wilayah Persekutuan Labuan dan di dalam kawasan Had Pelabuhan Teluk Victoria.
a. FASA 1: Penubuhan dan Operasi Awal (2017–2024)
LPL ditubuhkan melalui peluasan fungsi Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) di bawah Perintah Lembaga Pelabuhan Bintulu (Peluasan Fungsi) 2017 [P.U. (A) 35/2017], yang berkuat kuasa pada 31 Januari 2017.
i.Asas Perundangan Awal: Perintah ini dibuat menggunakan peruntukanSeksyen 66A, 66B, dan 66C Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 (Akta243), yang membolehkan LPL berfungsi sebagai badan berkanun danbadan kawal selia pelabuhan;
ii.Pengawalan Sebelum LPL: Sebelum peluasan fungsi ini, Pelabuhan Labuan dikawal selia oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM) di bawah Merchant Shipping Ordinance (MSO) 1952;
iii.Had Pelabuhan: Pengisytiharan had pelabuhan baharu dikenali sebagai Had Pelabuhan Victoria Bay pada 17 Januari 2017;
iv.Peranan Utama: LPL diberi skop utama dalam pembangunan, pentadbiran, pemasaran, dan penyediaan perkhidmatan Pelabuhan. Ia penting bagi memastikan Pelabuhan Labuan berfungsi sebagai pintu masuk yang cekap, selaras dengan statusnya sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa (diisytiharkan pada 1 Oktober 1990); dan
v.Pengendali Terminal: Pihak Berkuasa Pelabuhan Labuan melantik Straits Inter Logistic Berhad (SILB) sebagai pengendali terminal baharu berkuat kuasa 1 April 2020. Operasi terminal dan pengurusan kemudahan di Terminal Labuan Liberty kini dikendalikan oleh anak syarikat SILB, iaitu Megah Port Management Sdn. Bhd.
b. FASA 2: LPL Beralih ke Akta Persekutuan Baharu
Status LPL di bawah Akta 243 ditamatkan secara rasmi berikutan penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak.
i.Pembatalan Peluasan Fungsi: Perintah Lembaga Pelabuhan Bintulu (Peluasan Fungsi) 2017 telah dibatalkan melalui Perintah Lembaga Pelabuhan Bintulu (Peluasan Fungsi) (Pembatalan) 2024 [P.U. (A) 341] pada 15 November 2024;
ii.Penubuhan Semula Sebagai Entiti Berasingan: LPL didirikan sebagai entiti yang berasingan dan berkuat kuasa di bawah Akta Lembaga Pelabuhan 1963 (Akta 488), melalui Perintah Lembaga Pelabuhan (Pelabuhan Wilayah Persekutuan Labuan dan Pelabuhan Teluk Victoria) 2024 [P.U. (A) 342], juga berkuat kuasa pada 15 November 2024;
iii.Kesan: Perintah ini secara rasmi mengesahkan LPL sebagai Lembaga Persekutuan yang berdiri sendiri di bawah Akta 488. Ia juga memindahkan segala kuasa, hak, liabiliti, harta, dan obligasi yang sebelum ini dipegang oleh LPB kepada Lembaga Pelabuhan Labuan yang baharu; dan
iv.Undang-Undang Kecil Berterusan: Undang-Undang Kecil Lembaga Pelabuhan Labuan (Pelabuhan Teluk Victoria) (Skala Kadar, Dius dan Caj) 2020 [P.U. (A) 108/2020] yang dibuat sebelum ini terus berkuat kuasa dan disifatkan telah dibuat oleh LPL yang baharu sehingga dipinda atau dibatalkan.
Sebagai Pihak Berkuasa dan Badan Kawalselia Pelabuhan, Visi LPL adalah untuk menjadikan Pelabuhan Labuan sebagai pelabuhan yang paling efisien, selamat dan berdaya saing di Malaysia. Untuk merealisasikan visi tersebut, LPL telah merangka misi berikut:
1.Memastikan pengendalian operasi pelabuhan oleh pihak pengendali pelabuhan berjalan dengan lancar;
2.Memastikan pengguna pelabuhan mendapat perkhidmatan yang berkualiti untuk keperluan Pulau Labuan;
3.Mengambil tindakan segera terhadap aduan dan mengambil kira pandangan orang awam mengenai perkhidmatan dan kemudahan di pelabuhan;
4.Melahirkan tenaga kerja professional, mahir dan terlatih untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dan produktiviti;
5.Memastikan pengguna pelabuhan mematuhi segala garis panduan pelabuhan dan menjalankan kerja-kerja pengendalian mengikut perundangan dan peraturan LPL;
6.Memajukan dan menggalakkan perkembangan, pembangunan dan infrastruktur pelabuhan untuk kemudahan penggunanya; dan
7.Mewujudkan kemudahan pelabuhan yang lengkap bagi memperbaiki prestasi pengendalian perkhidmatan kontena dan kargo pecah pukal.
1.Menjalankan aktiviti pengawalseliaan perkhidmatan pelabuhan yang berkualiti dan mampu berdaya saing di Malaysia;
2.Memastikan sistem penyampaian perkhidmatan pelabuhan menepati kehendak untuk keperluan Pulau Labuan;
3.Memastikan pembangunan infrastruktur selari dengan kehendak pengguna dari semasa ke semasa; dan
4.Menjadikan Pelabuhan Labuan sebagai nod yang cekap dalam rantaian pengangkutan negara dan memberikan perkhidmatan tambah nilai.