Pengenalan
Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) komited dalam peningkatan kualiti secara berterusan (CQI) bagi menyediakan peluang pendidikan tinggi bersepadu dan berkualiti bagi melahirkan individu yang berilmu, berketrampilan dan berakhlak untuk menyokong keperluan Negara dalam era ekonomi digital.
Sistem Pengurusan Kualiti(SPK) disediakan untuk memberi panduan kepada pihak pengurusan, staf akademik, staf pentadbiran dan staf sokongan dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab mereka bagi memastikan kualiti akademik dicapai dan dipertingkatkan, selaras dengan misi dan visi KTD. SPK juga memastikan KTD melaksanakan spesifikasi standard program, kriteria standard akreditasi dan kerangka kelayakan yang ditetapkan.
Pernyataan Dasar
KTD komited dalam menyediakan pelan jaminan kualiti yang komprehensif dan memastikan ia dibudayakan oleh warga KTD demi memenuhi keperluan pelanggan melalui kolaborasi yang berkesan serta penambahbaikan yang berterusan.
Skop
Dasar ini digunapakai oleh semua ahli dalam pengurusan, staf akademik, staf pentadbiran dan staf sokongan.
Definisi
Jaminan Kualiti
Jaminan kualiti merangkumi tindakan-tindakan sistematik dan terancang bertujuan menunjukkan bahawa kualiti dicapai, dipertahan dan dipertingkatkan, selaras dengan standard program dan kod amalan yang berkaitan.
Prinsip Perlaksanaan
Jaminan Kualiti Program Pengajian
Jaminan Kualiti ke atas program pengajian yang ditawarkan dilaksanakan untuk memastikan spesifikasi kurikulum pengajian, kriteria penilaian standard akreditasi dan kerangka kelayakan dipatuhi bagi melahirkan graduat yang berkualiti. Jaminan kualiti akademik dikekalkan dan ditambahbaik secara berterusan melalui perancangan, pemantauan dan penambahbaikan yang dilaksanakan secara terancang dan sistematik.
Jaminan Kualiti Kolej
Jaminan Kualiti ke atas penyelarasan penyediaan, penyemakan dan penyelenggaraan dokumen dan rekod Sistem Pengurusan Kualiti KTD bagi memastikan spesifikasi Kod Amalan Akreditasi Program (COPPA) dan Kod Amalan Audit Institusi (COPIA) dipatuhi.
Kepimpinan Jaminan Kualiti
Jabatan Audit Dan Kualiti (JADK) diwujudkan bagi memimpin dan menyelaras Sistem Pengurusan kualiti (SPK) KTD. JADK akan memastikan usaha ke arah peningkatan kualiti dan menilai keberkesanan secara berkala.
Akreditasi Sementara Program Pengajian
Permohonan Akreditasi Sementara dilaksanakan ke atas program pengajian baharu yang ditawarkan merangkumi maklumat umum, program dan standard program. Permohonan Akreditasi Sementara perlu dikemukakan ke Agensi Kelayakan Malaysia sebelum program baharu tersebut ditawarkan.
Audit Kualiti Dalaman
Audit Kualiti Dalaman dijalankan sekurang-kurangnya sekali setahun. Semakan ke atas dokumen dan rekod, temuduga pemimpin program, staf akademik, staf pentadbiran, staf sokongan, pelajar dan Majlis Perwakilan Mahasiswa serta lawatan ke fasiliti.
Laporan Penilaian Kendiri
Penilaian Kendiri Program Pengajian dijalankan sekurang-kurangnya sekali untuk setiap program pengajian yang ditawarkan di setiap tahun terakhir kitaran pengajian meliputi keperluan kriteria penilaian dalam standard akreditasi dan disediakan meliputi aspek :
Kekuatan program.
Strategi bagi mengekal dan meningkatkan kekuatan program.
Bidang yang perlu diberi perhatian.
Langkah-langkah yang telah diambil untuk mengatasi masalah.
Kesimpulan dan cadangan untuk penambahbaikan.
Akreditasi Penuh Program Pengajian
Permohonan Akreditasi Penuh dilaksanakan ke atas program pengajian baharu yang ditawarkan apabila kumpulan pertama pelajar program berkenaan memasuki tahun akhir pengajian. Dokumentasi merangkumi maklumat umum kolej, program, standard program dan laporan penilaian kendiri perlu disediakan sebelum permohonan Akreditasi Penuh dikemukakan ke Agensi Kelayakan Malaysia. KTD perlu membuat persediaan sewajarnya untuk menerima lawatan penilaian program.
Semakan Semula Kurikulum
Semakan semula kurikulum dijalankan seawal setahun selepas sesuatu kurikulum program pengajian ditawarkan dan selewat-lewatnya satu tahun selepas satu kitaran program pengajian berkenaan. Semakan semula dilakukan ke atas keseluruhan kandungan kurikulum mengambil kira pandangan serta keperluan pihak yang berkepentingan serta mengikut standard program, kerangka kelayakan Malaysia dan kod amalan terkini.
Maklumbalas Majikan
Maklumbalas majikan graduat KTD di analisa dan dilaporkan bagi mendapatkan maklumat mengenai status pencapaian matlamat program pengajian semasa penawaran. Laporan maklumbalas majikan disediakan dan tindakan penambahbaikan berterusan secara terancang dan sistematik dilaksanakan bagi mempertingkatkan kualiti pemberian perkhidmatan pembelajaran dan pengajaran (P&P).
Kajian Pengesanan Graduat
Kajian Pengesanan Graduat memberi penumpuan terhadap destinasi graduat, prestasi kebolehpasaran graduat, penilaian tahap kepuasan graduat terhadap perkhidmatan dan kemudahan prasarana yang disediakan, pelaksanaan sistem pengajian, keupayaan pensyarah serta keberkesanan pembelajaran di KTD. Laporan Kajian Pengesanan Graduat disediakan dan tindakan penambahbaikan berterusan secara terancang dan sistematik dilaksanakan bagi mempertingkatkan kualiti pemberian perkhidmatan pembelajaran dan pengajaran (P&P) secara keseluruhan.
Dokumen Berkaitan
6.1 Kurikulum Program Pengajian
6.2 Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF)
6.3 Kod Amalan Akreditasi Program (COPPA)
6.5 Kod Amalan Audit Institusi (COPIA)
6.6 Standard Program
6.7 Prosedur Operasi Standard
Pernyataan Kuatkuasa
Dasar dan Prinsip Jaminan Kualiti ini dikuatkuasakan kepada semua pengurusan, staf akademik, staf pentadbiran dan staf sokongan berkuatkuasa 1 Ogos 2019.
Lain-lain
Jabatan Audit Dan Kualiti berhak mengubah Dasar dan Prinsip ini dari semasa ke semasa.
Dasar dan Prinsip Jaminan Kualiti KTD disemak sekurang-kurangnya setiap 3 tahun bagi memenuhi keperluan serta kehendak semasa dengan mengambilkira semua pihak berkepentingan.