KONVENSYEN PBT 2024
Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2024 merupakan satu platform yang memberi peluang kepada semua peserta berkongsi pengalaman, kemahiran dan berbincang untuk mencari pendekatan penyelesaian yang inovatif serta kreatif bagi isu-isu yang melibatkan pengurusan dan tanggungjawab PBT. Konvensyen PBT adalah selaras dengan lapan fokus utama KPKT untuk memperkasa peranan dan potensi PBT dalam agenda penyampaian perkhidmatan kerajaan tempatan yang beramanah, bersih, cekap dan berdisiplin.
Pengukuhan tadbir urus PBT perlu diberi keutamaan dan ditransformasikan bagi membangunkan keupayaan organisasi PBT dalam memberi perkhidmatan yang meningkatkan kesejahteraan rakyat. Pembangunan modal ilmu dan modal insan PBT akan menghasilkan warga PBT yang cekap, dinamik dan mampu menawarkan perkhidmatan yang terbaik. Ini akan memberi kepuasan kepada rakyat seterusnya memberi kepercayaan dan sokongan kepada PBT.
PBT harus meneroka inovasi baharu secara berterusan dan menerima pakai sistem yang lebih efektif dan efisyen bagi meningkatkan tahap perkhidmatan. PBT juga harus terus memperkasakan budaya kerja cemerlang dengan menilai semula proses dan prosedur kerja sedia ada bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan.
Konvensyen PBT 2024 ini diharapkan dapat membina kapasiti dan memberi suntikan semangat kepada semua PBT membina bandar Madani untuk terus menyumbang tenaga dan buah fikiran bagi memacu pembangunan Malaysia ke arah mencapai status Negara maju kelak. PBT merupakan kerajaan tempatan yang paling dekat dengan rakyat di mana pelbagai urusan harian melibatkan kesejahteraan hidup mereka digalas oleh PBT.