3.3 Menghuraikan proses pemilihan pekerja
Proses pemilihan pekerja
Proses pemilihan bermula apabila organisasi mula menerima permohonan daripada pemohon.
Ia adalah proses memilih calon yang paling layak yang patut diambil bagi sesuatu jawatan.
Proses pemilihan amat penting bagi memilih calon yang sesuai. Oleh itu, maklumat mesti dikumpulkan dan setiap permohonan dinilai dengan teliti.
Teknik-teknik yang wujud untuk membantu mengumpulkan maklumat mengenai pemohon adalah:
1. Borang permohonan
2. Temuduga
3. Ujian Pekerja
4. Semakan rujukan
5. Penawaran kerja
6. Orentasi
1. Borang Permohonan
Calon yang memohon sesuatu jawatan perlu terlebih dahulu mengisi borang permohonan.
Borang permohonan ini dapat digunakan untuk:
1) Mendapatkan maklumat tentang latar belakang dan kelayakan calon seperti butir peribadi, kelayakan akademik, kemahiran, pengalaman kerja, minat dan sebagainya.
2) Memastikan maklumat yang dikemukakan oleh calon selaras dengan penghuraian kerja.
3) Sebagai bahan rujukan untuk keperluan organisasi sekiranya calon diambil bekerja.
Calon perlu menyertakan resume dan salinan sijil yang telah disahkan bersama-sama borang permohonan tersebut.
Calon-calon yang memenuhi syarat akan dipilih untuk proses seterusnya.
Contoh Borang Permohonan Jawatan
Contoh Borang Permohonan Jawatan
2. Borang Permohonan
Proses pertukaran maklumat antara pihak organisasi dengan calon yang memenuhi syarat perjawatan secara bersemuka melalui maklum balas terhadap soalan yang dikemukakan secara lisan.
Tujuan - untuk menguji kemahiran komunikasi, melihat penampilan diri pemohon dan mendapatkan maklumat tambahan yang tidak diperoleh daripada borang permohonan.
Semasa temuduga, calon juga akan dimaklumkan dengan tugas-tugas pekerja, polisi, gaji dan suasana tempat kerja.
Jenis Temuduga
Temuduga berstruktur - soalan yang standard untuk semua calon.
Temuduga tidak berstruktur - soalan lebih terbuka dan subjektif.
Temuduga situasi - calon diberikan satu situasi dan dikehendaki memberi maklum balas terhadap situasi tersebut.
Temuduga panel - temuduga dijalankan oleh sekumpulan panel, iaitu beberapa orang penemuduga.
Temuduga berkomputer - calon diuji dengan satu set soalan melalui komputer.
3. Ujian Pekerja
Ujian dijalankan untuk mengenal pasti calon yang benar-benar layak dengan mengukur kemahiran, pengetahuan dan keupayaan mental serta fizikal calon.
Antara ujian yang biasa dijalankan :
Ujian kesihatan - ujian untuk memeriksa tahap kesihatan calon seperti ujian darah, ujian mengesan sebarang penyakit dan penagihan dadah.
Ujian simulasi - memberi kepada calon contoh kerja atau situasi untuk dilakukan seperti simulasi kecemasan dalam pesawat, melayan penumpang dan membuat pengumuman dalam pesawat.
Ujian keupayaan kognitif (mental) - ujian ini mengukur kebolehan minda seorang calon seperti menguji intelektual calon, keupayaan membuat keputusan dan kemampuan calon bertutur dalam beberapa bahasa.
Ujian personaliti (sikap) atau psikometrik - untuk menilai sama ada seseorang calon mempunyai ciri-ciri seperti bekerjasama, mesra, peramah, sombong, suka membantu dan sebagainya.
Ujian keupayaan fizikal - ujian untuk mengukur kesesuaian aspek fizikal seseorang calon seperti ketinggian, tahap kecergasan, berat badan, rupa paras yang menepati keperluan tugas dan kecacatan penglihatan termasuk buta warna atau rabun.
Ujian poligraf (pengesan bohong) - untuk mengetahui kejujuran calon dalam memberikan maklumat.
Ujian prestasi - mengukur kebolehan seseorang calon untuk melakukan sesuatu tugas.
4. Semakan Rujukan
Calon menyediakan perujuk untuk memeriksa atau mengesahkan kebenaran kenyataan calon tentang diri mereka dalam borang permohonan.
Organisasi akan menghubungi perujuk yang diberi oleh calon untuk mengesahkan maklumat yang diberi dalam borang permohonan atau untuk mendapatkan maklumat tambahan berhubung dengan calon tersebut.
Perujuk boleh terdiri daripada penyelia di organisasi lama atau bekas tenaga pengajar yang mengenali calon tersebut.
5. Penawaran Kerja
Calon yang berjaya dalam proses pemilihan akan ditawarkan kerja bersertakan syarat-syarat perkhidmatan.
Tawaran kerja akan dibuat kepada calon yang layak melalui surat rasmi, email atau panggilan telefon.
Calon perlu mengesahkan sama ada menerima tawaran kerja tersebut atau tidak dalam satu tempoh yang ditetapkan.
Jika calon menerima tawaran kerja tersebut, surat tawaran kerja yang mengandungi syarat-syarat perkhidmatan akan dihantar.
Antara kandungan surat tawaran kerja ialah:
Nama jawatan yang ditawarkan & senaral tugas yang dipertanggungjawabkan.
Tempoh percubaan dan syarat-syarat pengesahan jawatan.
Tangga gaji dan gaji yang bakal diterima serta kenaikan gaji.
Faedah dan ganjaran yang akan diperolehi oleh pekerja.
Waktu, hari bekerja dan tempat bekerja.
Peraturan dan syarat kerja.
Sumbangan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).
Cuti tahunan dan cuti sakit.
Pemberhentian, persaraan dan lain-lain.
6. Orientasi
Proses sosialisasi untuk memberi pendedahan awal kepada pekerja baharu supaya mereka dapat memahami dan menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja baharu dalam organisasi.
Tujuan program orientasi
1) Membolehkan pekerja baharu membiasakan diri dengan persekitaran tempat kerja baharu.
2) Menerangkan visi, misi dan dasar organisasi serta prosedur dan peraturan organisasi.
3) Memberi gambaran tentang imej dan status organisasi.
4) Memberi keyakinan kepada pekerja baharu.
5) Mengurangkan kebimbangan dalam bidang tugas pekerjaan.
6) Memperkenalkan pekerja baharu kepada pekerja-pekerja lain dalam organisasi.
7) Menerangkan carta dan struktur organisasi pelbagai jabatan, sejarah, budaya organisasi, polisi dan lain-lain.
8) Menerangkan aspek-aspek penting yang berkaitan dengan skop kerja atau jawatan kepada pekerja.
Kandungan dalam program orientasi
1) Maklumat umum organisasi seperti visi, misi, carta struktur organisasi, dasar atau polisi, peraturan, sejarah, budaya dan produk atau perkhidmatan yang dijalankan oleh organisasi.
2) Dasar dan peraturan organisasi iaitu memberi penerangan mengenai tugas dan tanggungjawab kerja, waktu bekerja, keadaan tempat kerja, syarat perkhidmatan kerja, etika kerja dan disiplin dalam pekerjaan.
3) Tugas-tugas iaitu merangkumi tugas dan tanggungjawab, kontrak pekerjaan, rakan sekerja, ketua jabatan, penyelia, pihak pengurusan atasan dan orang bawahan.
4) Ganjaran dan faedah sampingan seperti bonus, elaun kerja lebih masa, faedah perubatan, cuti dan sebagainya.
5) Kawasan fizikal organisasi seperti bangunan, kafe, dewan dan lain-lain.
6) Persekitaran fizikal tempat kerja seperti peralatan pejabat, mesin-mesin berkaitan kerja, bilik pejabat dan lain-lain.
Masalah perlaksanaan orientasi
1) Penggunaan program yang tidak dikemas kini mengikut perubahan organisasi.
2) Menggunakan hanya satu kaedah program untuk semua jenis pekerjaan menyebabkan ia tidak bersesuaian bagi pekerja tertentu.
3) Sesetengah pegawai tidak mempunyai kemahiran komunikasi yang baik dalam menyampaikan maklumat berkenaan kandungan program orientasi kepada pekerja.
4) Pegawai kekurangan pengetahuan dan maklumat mengenai perkara tertentu yang akan menyukarkan proses penyampaian maklumat yang sepatutnya diketahui pekerja baharu.
5) Program hanya dijalankan dalam bilik kuliah sahaja dan ini tidak menggambarkan situasi kerja sebenar dalam organisasi.
6) Program orientasi melibatkan kos yang tinggi seperti perbelanjaan menempah tempat orientasi, bayaran kepada penceramah, percetakan bahan dan lain-lain.
7) Ketua Jabatan, pegawai atasan atau pekerja senior kurang memberi kerjasama dan enggan membenarkan pekerja bawahan untuk menyertai program orientasi atas alasan kekurangan tenaga kerja.