30,000 orang pekerja kilang baju di New York, Amerika Syarikat yang kebanyakannya wanita imigran melakukan mogok dan berarak di sekitar bandar tersebut bagi menuntut pengurangan jam bekerja, kenaikan gaji dan hak untuk mengundi. Mogok tersebut berlarutan selama 3 bulan dan pekerja memenangi kebanyakan tuntutan mereka. Rentetan daripada kemenangan ini, Jawatankuasa Nasional Wanita yang ditubuhkan oleh Parti Sosialis Amerika menyeru pada masa itu untuk menetapkan satu hari bagi setiap tahun sebagai kempen untuk menuntut hak mengundi wanita.
Wanita di Amerika Utara membuat bantahan dan protes mengenai hak wanita untuk mengundi sewaktu pilihan raya di negara-negara tersebut. Hari Wanita Sedunia (yang dikenali sebagai Hari Wanita Nasional) pertama kali diraikan di New York, Amerika Syarikat pada 28 Februari 1909 yang didedikasikan oleh Parti Sosialis Amerika atas cadangan aktivis (Theresa Malkiel) sebagai penghormatan kepada wanita yang terlibat dengan perjuangan mendapatkan hak dan keadilan.
Pada 26-27 Ogos 1910, Persidangan Wanita Sosialis Antarabangsa telah diadakan di Copenhagen, Denmark. Semasa persidangan ini, tokoh sosialis Jerman, Luise Zietz telah mencadangkan usul untuk meraikan "Hari Wanita Antarabangsa" setiap tahun dan disokong oleh Clara Zetkin, Pemimpin Biro Wanita Demokratik Sosial Jerman. Persidangan yang dihadiri oleh 100 orang aktivis wanita kiri dari 17 buah negara telah bersetuju dengan cadangan tersebut sebagai strategi untuk memperjuangkan kesamarataan dan hak mengundi untuk semua termasuk wanita. Slogan yang digunakan untuk Hari Wanita Antarabangsa pada masa itu ialah "undi untuk wanita akan menyatukan kekuatan kita dalam perjuangan untuk sosialisme".
Hari Wanita Antarabangsa pertama mula disambut pada 19 Mac 1911 di Jerman, Austria, Denmark dan Switzerland yang melibatkan himpunan besar-besaran dalam kalangan wanita. Tarikh ini dipilih oleh wanita Jerman bersempena pada hari yang sama pada tahun 1848, Raja Prusia yang menghadapi pemberontakan bersenjata rakyat Jerman pada masa itu, telah menjanjikan banyak reformasi sosial, termasuklah hak mengundi untuk wanita yang masih belum ditunaikan.Â
Sebelum sambutan Hari Wanita Antarabangsa ini, sejuta risalah telah diedarkan di seluruh negara Jerman. Sebagai tambahan kepada hak untuk mengundi dan memegang jawatan awam, perhimputan tersebut juga menuntut hak wanita untuk bekerja, menyertai latihan vokasional dan menamatkan diskriminasi dalam pekerjaan.
Hari Wanita Antarabangsa dijadikan mekanisme untuk membantah Perang Dunia Pertama. Sebagai sebahagian daripada pergerakan keamanan, wanita Rusia menyambut Hari Wanita Antarabangsa pertama mereka pada bulan Februari. Tetapi di Eropah, sambutan diadakan pada 8 Mac tahun berikutnya.
Pada tahun 1917, wanita di Rusia memilih untuk memprotes dan mogok di bawah slogan "Roti dan Keamanan" pada hari ahad terakhir bulan Februari (23 Februari kalendar Julian) yang jatuh pada 8 Mac kalendar Gregorian. Mogok yang dikenali sebagai Revolusi Demokratik Borjuis Februari ini menuntut perdamaian dan makanan ekoran kematian dua juta tentera mereka dalam Perang Dunia Pertama. Mereka mendesak kerajaan menamatkan perang dan mendesak Maharaja turun daripada takhta.
Seminggu kemudian (16 Mac), Maharaja Nikolai II bersetuju untuk turun takhta dan membubarkan Empayar Rusia lalu menyerahkan pemerintahan kepada kerajaan sementara. Kerajaan sementara memberi hak kepada wanita untuk mengundi. Pergerakan mereka akhirnya membawa kepada penggubalan hak pilihan raya wanita di Rusia.
Bagi mengenang jasa kaum buruh-tani wanita dalam menggerakkan Revolusi Demokratik Borjuis Februari, pemimpin agung pertama Kesatuan Soviet, Vladimir Lenin, telah mengisytiharkan tarikh 8 Mac sebagai Hari Buruh Wanita Sedunia (International Women's Workers Day). Perisytiharan tersebut diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Wanita & Kebajikan Rakyat Kesatuan Soviet, Alexandra Kollontai. Pada 1977, PBB mencadangkan agar perkataan "buruh" dibuang kerana terlalu berbaur komunisme.
Soviet Union menjadi negara pertama yang mengisytiharkan cuti umum sempena Hari Wanita Antarabangsa.
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa mula tersebar ke negara China dimana ianya disambut oleh anggota-anggota parti komunis.
Pada tahun 1945, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi penjanjian antarabangsa pertama untuk mengesahkan prinsip kesaksamaan antara wanita dan lelaki.
Selepas pembentukan Republik Rakyat China pada 1949, 8 Mac telah diisytiharkan sebagai hari cuti rasmi dengan pekerja wanita mendapat cuti setengah hari pada hari tersebut.
Kumpulan feminis di negara barat menjadikan Hari Wanita Antarabangsa sebagai Hari Perjuangan Wanita Antarabangsa. Mereka menuntut supaya tiada diskriminasi antara lelaki dan wanita dalam pendidikan dan pekerjaan. Wanita harus diberikan gaji yang sama dengan lelaki.
Pada 8 Mac 1975, PBB meraikan Hari Wanita Antarabangsa secara rasmi buat kali pertama bagi meraikan pencapaian wanita dalam usaha mewujudkan perdamaian dunia. PBB juga telah mengumumkan bahawa tahun 1975 disambut sebagai Tahun Wanita Antarabangsa.
Persidangan Wanita Sedunia yang pertama telah diadakan di Mexico City dan telah meluluskan "Deklarasi Mexico tentang Kesamarataan Wanita dan Sumbangan Mereka kepada Pembangunan dan Keamanan".
Pada Disember 1977, Perhimpunan Agung PBB menerima pakai resolusi yang mengisytiharkan Hari PBB untuk Hak Wanita dan Keamanan Antarabangsa yang perlu diraikan pada mana-mana hari dalam setahun oleh negara anggota di bawah tradisi sejarah dan kebangsaan mereka.
Akhirnya, selepas diterima pakai oleh PBB pada tahun 1977, Hari Wanita Antarabangsa telah ditetapkan pada 8 Mac sebagai cuti rasmi PBB untuk hak wanita dan keamanan dunia.
Perhimpunan Agung PBB telah menerima Konvensyen tentang Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW), satu dokumen antarabangsa penting yang menggariskan hak-hak wanita. Ia ditandatangani oleh Malaysia pada tahun 1995.
Laman web internationalwomensday.com telah dilancarkan. Tema sambutan Hari Wanita Antarabangsa telah diselaraskan.
Hari Wanita Antarabangsa disambut oleh lebih 100 buah negara di seluruh dunia. Sebanyak 27 buah negara menetapkan Hari Wanita Antarabangsa sebagai cuti umum termasuk Afghanistan, Cuba, Kemboja, Nepal, Rusia, Vietnam dan Zambia.