Seminar Penyelidikan Pendidikan dan Inovasi IPGKSAH (SAHConfEd) merupakan acara tahunan Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim yang diadakan bermula pada tahun 2019. Seminar Penyelidikan Pendidikan dan Inovasi IPGKSAH menghimpunkan penyelidik dalam kalangan pensyarah IPG, Universiti Awam, Universiti Swasta, Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Vokasional serta guru-guru dan warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membentangkan kertas penyelidikan dan inovasi mengikut bidang kepakaran masing-masing.
Pelaksanaan SAH iConfEd’22 adalah bertepatan dengan anjakan ke-4 Transformasi Profesion Keguruan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 untuk membudayakan Penyelidikan dan Inovasi. Pelaksanaannya juga adalah selaras dengan Kluster 3 (Pembudayaan Penyelidikan & Inovasi) Transformasi IPG (2016-2025).
Hasrat ini juga terkandung dalam Perancangan Strategik 2021- 2025 IPGKSAH (Kluster 3: Pembudayaan Penyelidikan dan Inovasi dan Kluster 7: Pengantarabangsaan) untuk merealisasikan amalan penyelidikan dan Inovasi berimpak tinggi. Amalan penyelidikan dan inovasi dalam kalangan pensyarah IPG perlu diteruskan dengan melaksanakan kajian berorientasikan komuniti serta meningkatkan kolaboratif dengan organisasi lain.
Justeru, usaha diteruskan dengan cadangan penganjuran seminar peringkat antarabangsa pada tahun ini. Maka dengan itu, usaha memperkukuhkan kolaboratif antara IPG dengan Institut Agama Islam Negeri Langsa, Acheh, Indonesia (AIAN), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’dàzam Syah, Kedah (UniSHAMS) dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda / Yan (PPD KMY) telah dirangka untuk menjayakan seminar peringkat antarabangsa bagi tahun 2022.
Kejayaan menganjurkan Seminar Penyelidikan Pendidikan dan Inovasi IPGKSAH (SAHConfEd) 2019, 2020 dan 2021 juga telah memberi pengalaman berguna dan sangat bermakna kepada IPG Kampus Sultan Abdul Halim untuk menjadi penganjur seminar di peringkat antarabangsa pula. Kejayaan dari sudut pelaksanaan seminar yang berjalan dengan lancar, penyertaan yang menggalakkan serta perkongsian ilmu dan dapatan penyelidikan yang sangat bermenafaat telah diperoleh sepanjang penganjuran yang telah dibuat.
Peningkatan Kualiti dan Pengantarabangsaan Penyelidikan dan Inovasi boleh ditingkatkan melalui program kerjasama dalam dan luar negara seperti yang terkandung dalam perkara 2.4 Buku Dasar Penyelidikan Dan Inovasi IPGM 2020. Sehubungan dengan itu, Kertas Cadangan penganjuran eSeminar Penyelidikan Pendidikan dan Inovasi Sultan Abdul Halim 2022 Peringkat Antarabangsa pun dirangka untuk memenuhi syarat-syarat penganjuran oleh IPGM.
Maka dengan itu, Mesyuarat Majlis Profesional, Pengurusan dan Pentadbiran Bil.7/2021 pada 10 Oktober 2021 telah meluluskan pelaksanaan SAH iConfEd’22 secara dalam talian dan menjadi salah satu aktiviti penting dalam Takwim Perancangan Tahunan 2022 bagi IPG Kampus Sultan Abdul Halim.