“SENTIASA KE HADAPAN“
UNIT KOKURIKULUM
Unit Kokurikulum akan mengaplikasikan kurikulum dalam aktiviti kokurikulum bagi Program Perguruan Pendidikan Rendah yang digubal untuk menyediakan bakal guru secara menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS) dengan mengoptimumkan perkembangan psikomotor, kognitif dan afektif. Hasrat Unit Kokurikulum untuk melahirkan pelajar yang serba boleh dalam bidang kokurikulum di samping meningkatkan ilmu pedagogi dalam pendidikan sekolah rendah dengan berteraskan kepada kemahiran insaniah. Pelajar dan guru-guru yang mengikuti kursus ini akan berperanan memenuhi keperluan pertumbuhan dan perkembangan diri dari aspek JERIS supaya dapat melahirkan murid-murid yang cergas, cerdas, berkemahiran dan berketrampilan diri yang positif serta produktif. Di samping itu, Unit Kokurikulum bergerak selaras dengan hala tuju IPG Kampus Sultan Mizan dalam bidang Kokurikulum melalui ‘Komitmen Kami’ agar dapat melahirkan pelajar memiliki sekurang-kurangnya enam sijil kejurulatihan, kepegawaian dan kepengelolaan.
Di Institut Pendidikan Guru (IPG) penglibatan pelajar dalam kursus kokurikulum adalah wajib. Kelulusan dalam komponen ini adalah prasyarat untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Diploma Perguruan Malaysia dan Sijil Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan.
Tujuan kursus kokurikulum diwajibkan adalah seperti berikut:
Membolehkan pelajar-pelajar memperolehi pengetahuan dan menguasai kemahiran asas dalam semua program/ aktiviti kokurikulum di sekolah.
Menguasai aspek pengurusan dan kepimpinan untuk membolehkan pelajar merancang, mengurus dan melaksanakan semua program/ aktiviti kokurikulum di sekolah.
Membentuk sahsiah bersepadu melalui penghayatan nilai-nilai murni, amalan demokratis, berdisiplin, taat, bersikap positif, toleransi dan patriotisme.
Mewujudkan sifat kepimpinan dan membina daya pemikiran yang tajam, inovatif, kreatif dan daya tahan dalam menghadapi tugas, dan
Melahir dan mengembangkan bakat, potensi dan kepimpinan pelajar dalam kegiatan sosial, kebudayaan dan khidmat masyarakat yang boleh membantu usaha ke arah mencapai matlamat integrasi, perpaduan negara dan masyarakat penyayang.