Program Kelayakan Profesional Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) merupakan program latihan yang telah diperkenalkan di Institut Aminuddin Baki (IAB) KPM sejak tahun 1999, selepas penjenamaan semula National Profesional Qualification for Headship (NPQH). Program NPQEL merupakan satu inisiatif latihan dalam perkhidmatan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertujuan membentuk satu kelompok pemimpin pelapis yang bakal menerajui institusi pendidikan, khususnya sekolah ke tahap yang cemerlang dan unggul.
Matlamat Anjakan 5 PPPM 2013-2025 adalah menempatkan pemimpin berprestasi tinggi di setiap sekolah. Sejajar dengan itu PGB yang telah diberi latihan semasa program NPQEL dan disambut dengan khidmat konsultasi melalui program dan Immersion 2.0 haruslah sentiasa dibugarkan sama ada daripada segi pengetahuan, kemahiran mahupun nilai.
Sehubungan dengan itu Kolokium Graduan NPQEL ini dirancang dengan tujuan mewujudkan ruang dan peluang perkongsian amalan terbaik dalam kalangan PGB graduan NPQEL. Kolokium ini dapat mengetengahkan PGB graduan NPQEL yang berjaya sebagai pemimpin instruksional dan perubahan di sekolah. Ruang perkongsian yang diberikan kepada PGB yang membentang dapat menyuntik semangat dan memperkukuh jati diri sebagai pengurus dan pemimpin institusi pendidikan dalam menghadapi cabaran pendidikan masa kini.
Pengetahuan, kemahiran, nilai dan pengalaman para pembentang dapat menjadi suri teladan kepada PGB yang lain khususnya PGB baharu. Bahan perkongsian amalan terbaik ini akan dikumpulkan dan diterbitkan dalam bentuk e-Prosiding sebagai perkongsian kepada semua pemimpin pendidikan.