Rakyat Malaysia amat istimewa jika dibandingkan dengan rakyat negara-negara lain; kerana perjuangan mereka ke arah kemerdekaan telah berjaya dilakukan tanpa pertumpahan darah, kemusnahan harta benda atau melibatkan sebarang revolusi mahupun pemberontakan bersenjata. Kemerdekaan Tanah Melayu telah dicapai kerana wujudnya suatu faktor yang tiada pada negara-negara lain di dunia ini - kebersatuan yang kukuh di antara pelbagai kelompok etnik yang menganuti pelbagai budaya, kepercayaan dan agama.
Penjajahan Jepun menyerah kalah pada 1945 dan dengan itu juga Perang Dunia II tamat.Tempoh di antara penyerahan kuasa Jepun dan kedatangan semula British di Tanah Melayu telah memberi kesempatan kepada Parti Komunis Malaya (PKM) melalui Malayan Peoples Anti Japanese Army (MPAJA) untuk mengambil alih kuasa pemerintahan di Tanah Melayu.
Sejarah menunjukkan bahawa PKM dapat menguasai tanah Melayu selama 14 hari. Dalam tempoh tersebut dan juga waktu selepas itu, anggota-anggotanya telah membuat kekacauan dan huru-hara. British datang ke Tanah Melayu pada bulan September 1945. Untuk mengembalikan keamanan. Pentadbiran Tentera British (British Military Administration – BMA) telah ditubuhkan.
Dalam keadaan huru hara pemerintahan tentera dirasakan perlu. Sistem pentadbiran tentera tersebut tidak bertahan lama. Berikutnya British telah mencadangkan sistem pentadbiran baru yang dinamakan sebagai Malayan Union (Kesatuan Malaya)1.
1 Nazaruddin Hj. Mohd Jali et- al (2004), Pengajian Malaysia Kenegaraan dan kewarganegaraan Edisi Kedua.Selangor. Prentice Hall.hal 40.
Parlimen Inggeris pada 10 Oktober 1945 telah membentangkan satu kertas putih yang isinya adalah mengenai matlamat British untuk mewujudkan satu sistem pentadbiran baru yang dikenali sebagai Malayan Union.
Malayan Union yang dicadangkan merupakan satu kesatuan negeri-negeri Melayu. Dalam pentadbiran ini negeri-negeri di semenanjung yang tidak pernah lagi ditadbirkan sebagai satu kesatuan, dan mempunyai cara pemerintahan tersendiri adalah ditadbirkan di bawah satu kesatuan.
Tujuan utama diperkenalkan Malayan Union ialah untuk mempastikan kepentingan British di Tanah Melayu terpelihara, khususnya kepentingan ekonomi. Untuk tujuan ini tindakan menyeragamkan pentadbiran di bawah satu sistem (Malayan Union) adalah perlu dengan sebab-sebab tertentu iaitu:
Melalui satu sistem pemerintahan, kos pentadbiran negeri-negeri melayu dapat dijimatkan.
British juga pernah menyatakan kononnya bahawa matlamat akhirnya ialah untuk memberikan kemerdekaan kepada negeri ini.
Selain daripada itu juga dikatakan bahawa British segaja menubuhkan Malayan Union kerana perasaan benci beberapa pegawai Inggeris terhadap orang Melayu yang dikatakan menyokong Jepun semasa penjajahan Jepun di Tanah Melayu.
Terdiri daripada sembilan buah negeri Melayu, Pulau Pinang dan Melaka.
Gabenor Inggeris merupakan ketua pentadbir Malayan Union yang berpusat di Kuala Lumpur, Gabenor dibantu oleh Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis Perundangan.
Raja-raja Melayu hanya berperanan sebagai penasihat Gabenor, sedangakan kedaulatan mereka sebagai raja di negeri mereka sendiri dihapuskan. Raja hanya berkuasa dalam soal agama Islam dan mengetuai Majlis Penasihat Melayu.
Majlis Mesyuarat Negeri dikekalkan untuk tujuan mengurus kerajaan tempatan tetapi masih tertakluk kepada kawalan pemerintahan pusat.
Malayan Union tidak melibatkan Singapura, Singapura masih dikekalkan sebagai tanah jajahan di bawah kuasa seorang Gabenor Jeneral British yang berkuasa ke atas Gabenor Malayan Union.
Dari segi kerakyatan, ianya berdasarkan prinsip jus soli. Melalui prinsip ini kerakyatan Tanah Melayu diperolehi sekiranya:
Orang asing yang berumur 18 tahun ke atas dan telah bermastautin di Tanah Melayu selama 10 tahun daripada tempoh 15 tahun sebelum 15 Febuari.
Seseorang itu dilahirkan di Tanah Melayu selepas penubuhan Malayan Union
Hak warganegara yang sama rata bagi semua orang tanpa mengira bangsa atau asal keturunan ini termasuk kemasukan ke dalam perkhidmatan kerajaan dan hak mengundi dalam pilihanraya umum.
Rancangan Malayan Union mendapat bantahan. Mereka menyuarakan bantahan melalui pelbagai cara, antaranya melalui akhbar-akhbar Melayu seperti Majlis, Utusan Melayu dan Warta Negara, menghantar surat bantahan kepada kerajaan British di London. Bantahan dilakukan secara teratur dan secara bersama melalui persatuan-persatuan Melayu di peringkat negeri seperti mengadakan perarakan dan tunjuk perasaan di seluruh Tanah Melayu.
Pada 1 April 1946 Malayan Union ditubuhkan secara rasmi dengan Sir Edward Gent menjadi Gabenor Jeneral yang pertama. Orang Melayu bertindak memulaukan upacara perlantikan Gabenor Malayan Union dan semua majlis yang dianjurkan oleh kerajaan British. Sebagai tanda bantahan, orang Melayu berkabung selama tujuh hari dengan melilitkan kain putih pada songkok.
Kongres Melayu Se Malaya Kedua di Johor Bahru pada 11 Mei 1946 meluluskan pembentukan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diberi tugas untuk menyatukan orang Melayu bagi menentang Malayan Union dan Dato’ Onn bin Jaafar di pilih menjadi yang dipertua UMNO yang pertama 2 .
2 Ruslan Zainuddin et- al (2004), Kenegaraan dan kewarganegaraan. Selangor. Fajar Bakti..hal 142
Antara sebab-sebab penentangan Malayan Union ialah:
Perlembagaan Malayan Union digubal tanpa mengambil kira pandangan orang Melayu terlebih dahulu. Raja-raja Melayu diberi masa yang singkat untuk meneliti kandungan perjanjian Malayan Union. Mereka tidak di beri peluang berbincang dengan para pembesar atau Majlis Mesyuarat Negeri masing-masing.
Persetujuan raja-raja Melayu kepada Malayan Union dianggap tidak sah kerana tidak mematuhi perlembagaan negeri-negeri Melayu yang memerlukan raja berunding dengan para pembesar terlebih dahulu sebelum menandatangani sebarang perjanjian dengan kuasa asing.[5]
Sir Harold Mac Micheal menggunakan ugutan untuk menyingkirkan mana-mana raja yang tidak bersetuju dengan rancangan Malayan Union. Beliau juga bersikap biadap, tidak mengetahui adat resam dan memahami bahasa Melayu serta tiada pengalaman langsung tentang Tanah Melayu.
Malayan Union menghapuskan kedaulatan dan kuasa politik raja-raja Melayu. Kuasa raja-raja hanya terbatas kepada hal-ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja. Kehilangan kedaulatan dan kuasa politik bermakna raja-raja tidak lagi dapat melindungi hak dan kepentingan orang Melayu. Sebelum ini raja merupakan orang yang paling tinggi dalam struktur sosial masyarakat Melayu tradisional. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mengatasi raja. Seseorang raja yang memerintah merupakan seorang pemimpin yang ditaati, dihormati dan disegani.
Malayan Union menawarkan syarat-syarat kerakyatan yang longgar kepada kaum bukan Melayu. Penerimaan kaum bukan Melayu menjadi warganegara boleh mengancam kedudukan politik orang Melayu. Terutama apabila kesetiaan kaum bukan Melalyu kepada Tanah Melayu masih lagi diragui.
Persamaan hak kepada semua rakyat di Tanah Melayu tanpa mengira kaum dianggap mengancam hak dan kedudukan istimewa orang Melayu. Sebagai penduduk peribumi di Tanah Melayu, orang Melayu berasakan bahawa mereka perlu menikmati hak dan kedudukan yang istimewa berbanding dengan kaum lain.
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)
UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 oleh Dato’ Onn Jaafar. Beliau merupakan presiden pertama UMNO. Beliau memegang jawatan ini sehingga tahun 1951.
Matlamat jangka pendek penubuhan parti ini ialah penentangan terhadap Malayan Union. Untuk menyatupadukan orang Melayu dan mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dalam penentangan Malayan Union ini.
Anggota ini parti ini berpegang kepada cogan kata ‘Hidup Melayu’.
Pada tahun 1948, UMNO dijadikan sebagai sebuah parti politik3 .
3 Mardiana Nordin et-al (2004) Pengajian Malaysia. Selangor. Fajar Bakti. Hal 142
Pada 22 Disember 1946 kaum-kaum bukan Melayu menubuhkan Majlis Tindakan Bersama Tanah Melayu (AMCJA) bertujuan menentang perlembagaan baru yang telah dicadangkan.
Komponen AMCJA ialah Kongres India Malaya (MIC), Malayan People’s Anti Japanese Ex – Services Comrades Association dan Pan Malayan Federation of Trade Unions.
AMCJA diketuai oleh Tan Cheng Lock. Perjuangan AMCJA adalah atas tiga prinsip iaitu:
Penyatuan seluruh Tanah Melayu (termasuk Singapura)
Pemerintahan sendiri melalui sebuah Badan Perundangan Pusat dengan ahli-ahli dipilih oleh rakyat.
Hak-hak kerakyatan yang sama bagi semua orang yang menganggap Tanah Melayu sebagai air dan tumpuan taat setia4 .
Ternyata di sini bahawa prinsip yang dikemukakan oleh AMCJA bercanggah dengan apa yang dikemukan oleh UMNO dan raja-raja Melayu. AMCJA menolak cadangan perlembagaan yang telah dikemukakan oleh raja Melayu dan UMNO
4 Nazaruddin Hj. Mohd Jali et- al (2004), Pengajian Malaysia Kenegaraan dan kewarganegaraan Edisi kedua.Selangor. Prentice Hall.hal 45
Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA)
Merupakan parti orang Melayu yang dianggap berhaluan kiri (radikal).[8]
Putera adalah gabungan parti-parti berhaluan kiri iaitu Angaktan Pemuda Insaf (API) pimpinan Dr Boestamam, Parti Kebangsaan Melayu Malaya
(PKMM) pimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmi, dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) pimpinan Shamsiah Fakeh.
PUTERA telah memperjuangkan empat prinsip iaitu:
Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasmi Negara.
Hal-ehwal luar dan pertahanan menjadi tanggungjawab bersama Kerajaan Tanah Melayu dan British.
Perkataan “ Melayu hendaklah digunakan sebagai nama kerakyatan atau kewarganegaraan Tanah Melayu.
Bendera Kebangsaan hendaklah mengandungi warna-warna kebangsaan Melayu.
Prinsip perjuangan PUTERA nampaknya berbeza dengan prinsip perjuangan AMCJA. Walau bagaimanapun kedua-dua kesatuan bersepakat akhirnya.
AMCJA – PUTERA menyifatkan Jawatankuasa Perundingan yang ditubuhkan oleh kerajaan British tidak mewakili kepentingan kaum bukan Melayu. AMCJA –PUTERA menyerahkan satu cadangan perlembagaan Tanah Melayu yang mengandungi 10 perkara, tetapi ditolak oleh kerajaan British kerana dianggap terlalu radikal5 .
5 Ruslan Zainuddin et. al. (2004), Kenegaraan Dan Kewarganegaraan. Selangor: Fajar Bakti, hal. 145.
Pada bulan Januari 1948, kerajaan British menerima cadangan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Perlembagaan ini dipersetujui dan ditandatangani oleh sembilan orang raja Melayu dan Pesuruhjaya Tinggi British pada 21 Januari 1948, dan berkuatkuasa mulai 1 Febuari 1948.
Ciri-Ciri Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948
Mengandungi sembilan buah negeri Melayu dan dua buah Negeri-negeri Selat, iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Singapura dikekalkan sebgai sebuah tanah jajahan British yang berasingan.
Di Ketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British dengan dibantu oleh sebuah Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis Undangan Persekutuan
Penubuhan Majlis Raja-raja Melayu yang ditugaskan untuk menasihati Pesuruhjaya Tinggi British dan Majlis Mesyuarat Kerja Negeri di peringkat negeri yang fungsinya sama seperti Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan.
Jawatan Menteri Besar diwujud bagi menggantikan jawatan Residen British dan kuasa kerjaan negeri pula ditambah termasuk kewangan, kerajaan tempatan dan kesihatan.
Pemberian kerakyatan kepada orang asing menetap di Tanah Melayu setelah Perlembagaan tahun 1984 dikuatkuasakan, mereka yang dianggap sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu ialah:
Semua rakyat raja di sebuah negeri Melayu
Rakyat British yang dilahirkan di Pulau Pinang dan Melaka serta menetap selama 15 tahun berturut-turut di mana-mana negeri dalam Persekutuan
Rakyat British yang dilahirkan di Persekutuan yang bapanya sendiri dilahirkan di Persekutuan atau telah menetap selama 15 tahun berturut-turut.
Mereka yang dilahirkan dalam Persekutuan dan bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.
Mereka yang dilahirkan di Persekutuan dan ibu bapanya juga dilahirkan di Persekutuan dan menetap selama 15 tahun berturut-turut.
Penduduk lain layak memohon menjadi warganegara dengan syarat-syarat berikut:
Dilahirkan di Persekutuan dan menetap selama lapan tahun dari tempoh 12 tahun atau menetap selama 15 tahun daripada 20 tahun sebelum permohonan itu dibuat.
Pemohon mesti berkelakuan baik, mempunyai pengetahuan dalam bahasa Melayu atau Inggeris dan mesti berumur tidak kurang dari 18 tahun 7 .
Kesan Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu
Kuasa dan kedaulatan raja-raja Melayu serta kedudukan istimewa orang Melayu dipulihkan. Jawatan Residen British digantikan dengan jawatan Menteri Besar
Orang Melayu membuat pengorbanan besar dengan memberi kerakyatan kepada kaum imigran. Ini bermakna kaum imigran kini boleh menikmati hak yang sama dengan orang Melayu dan mengambil bahagian dalam pemerintahan Negara.
Orang Melayu berharap pengorbanan yang besar ini dibalas oleh pohak kerajaan melalui usaha meninggikan taraf hidup mereka melalui peruntukan ‘kedudukan istimewa’ dalam perlembagaan, tetapi ini tidak dilakukan oleh kerajaan British
Kaum bukan Melayu, terutama orang cina menentang penubuhan Persekutuan kerana Singapura tidak dimasukkan ke dalam Persekutuan mereka juga membantah pemberian taraf ‘kedudukan Istimewa’ kepada orang Melayu dalam perlembagaan.
Penentangan paling hebat dilakukan oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dan lain-lain pertubuhan sayap kiri. PKM berusaha merampas kuasa secara kekerasan sehingga mengakibatkan darurat diisytiharkan di seluruh Tanah Melayu pada bulan Jun 1946 7 .
Kejayaan besar PKM ialah peristiwa pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Henry Gurney dalam satu serangan hendap yang dilakukan di Bukit Fraser pada 6 Oktober 1951.
Kejayaan PKM tidak berpanjangan akibat langkah-langkah kerajaan menambahkan bilangan anggota pasukan keselamatan, kedudukan PKM semakin lemah dan jumlah anggotannya semakin merosot.
7 Ruslan Zainuddin et- al (2004), Kenegaraan dan kewarganegaraan. Selangor. Fajar Bakti..hal 146-147.
Pada bulan Ogos 1955 Tunku Abdul Rahman sebagai pemimpin Parti Perikatan menghantar satu memorandum kepada Pejabat Tanah Jajahan British di London untuk menrundingkan soal kemerdekaan Tanah Melayu. Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan British. Alan Lennox-Boyd. Dalam memorandum itu, Parti Perikatan meminta dua perkara iaitu:
Pemberian kerajaan sendiri secepat mungkin
Penubuhan sebuah suruhanjaya bebas untuk menggubal perlembagaan baru Tanah Melayu.
Raja-raja Melayu memberi persetujuan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan usaha ke arah kemerdekaan. Mereka juga meminta supaya rundingan kemerdekaan tidak diadakan dengan wakil-wakil parti perikatan sahaja, tetapi turut melibatkan wakil raja-raja Melayu. Pada bulan November 1955, wakil raja-raja Melayu dan parti Perikatan berunding terlebih dahulu untuk mencapai kata sepakat tentang beberapa perkara asas seperti:
Kawalan Kewangan
Perlantikan rakyat tempatan utnuk mengetui jabatan-jabatan kerajaan
Keselamatan dalam negeri dan penggubalan perlembagaan
Dalam rundingan itu, Tunku Abdul Rahman memberi jaminan bahawa kedudukan raja-raja Melayu sebagai raja berperlembagaan tidak akan terjejas selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Pada 1 Januari 1956, Rombongan Kemerdekaan bertolak ke London. Rombongan itu terdiri daripada empat orang wakil raja-raja Melayu dan empat orang wakil Parti Perikatan. Rombongan itu bertolak ke London dengan tujuan untuk berunding dengan kerajaan British bagi mendapat kemerdekaan Tanah Melayu.
Rundingan kemerdekaan Tanah Melayu di London dipengerusikan oleh Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan British, Alan Lennoxz Boyd. Rundingan itu yang diadakan mulai 18 Januari hingga 8 Febuari 1956 berjaya mencapai beberapa persetujuan iaitu:
Kerajaan British bersetuju memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Selepas merdeka, Tanah Melayu akan terus kekal dalam lingkungan komanwel dengan mengamalkan sistem pemerintahan secara demokrasi.
Rakyat tempatan akan mengambil alih jawatan-jawatan penting seperti Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, Menteri Kewangan dan Menteri Perdagangan.
Pihak British dibenarkan untuk menempatan tenteranya di Tanah Melayu.
Sebuah badan bebas dibentuk bagi menggubal perlembagaan baharu Tanah Melayu.
Pada bulan 1956, sebuah suruhanjaya dibentuk untuk merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Suruhanjaya itu dinamakan Suruhanjaya Reid dengan dipengerusikan oleh Lord Reid dan dianggotai (Britain), Sir William McKell (Australia), Hakim B. Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid (Pakistan). Suruhanjaya Reid membuat beberapa tinjauan untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak, iaitu orang perseorangan, pertubuhan politik, kesatuan sekerja dan persatuan yang mewakili kepentingan golongan tertentu dalam masyarakat.
Suruhanjaya itu juga menerima 131 memorandum secara bertulis daripada pelbagai pihak, termasuk memorandum Parti Perikatan dan raja-raja Melayu. Memorandum Perikatan merupakan satu bentuk pakatan murni, hasil rundingan dan tolak ansur antara UMNO, MCA dengan MIC yang mewakili tiga kaum terbesar di Tanah Melayu.`Pakatan murni’ itu mengandungi dua perkara penting, iaitu mengekalkan empat unsur tradisional dalam perlembagaan – bahasa Melayu, agama Islam, institusi beraja dan kedudukan istimewa orang Melayu serta hak untuk menjadi warganegara berasaskan prinsip jus soli kepada kaum bukan Melayu.
Suruhanjaya Reid mengadakan 118 mesyuarat antara bulan Jun sehingga Oktober 1956 untuk mengkaji dan mengambil kira pandangan serta maklum balas daripada semua pihak. Pada bulan Mei 1957, sebuah Jawatankuasa Kerja ditubuhkan yang terdiri daripada 11 orang ahli untuk menyemak dan mengkaji Laporan Reid.
Ciri-Ciri Perlembagaan 1957
Terdapat empat ciri utama dalam struktur kerajaan yang dicadangkan, iaitu:
Ketua Negara bagi Persekutuan Tanah Melayu ialah Yang di-Pertuan Agong yang dipilih daripada kalangan sembilan orang raja Melayu. Baginda memegang jawatan itu untuk tempoh lima tahun.
Ketua kerajaan bagi Persekutuan Tanah Melayu ialah Perdana Menteri yang dilantik di kalangan parti yang mempunyai suara terbanyak dalam Dewan Rakyat. Perdana Menteri akan menubuhkan Kabinet yang menjadi badan tertinggi dalam mengubal dasar-dasar kerajaan.
Sebuah badan perundangan di peringkat persekutuan, iaitu Parlimen yang terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Dewan Rakyat mempunyai 104 orang ahli yang dipilih melalui pilihan raya untuk tempoh selama lima tahun. Dewan Negara mengandungi 38 orang ahli dan mereka berkhidmatenam tahun.
Ketua perlembagaan di peringkat negeri ialah raja atau gabenor. Setiap negeri mempunyai Majlis Undangan Negeri yang dipilih melalui pilihan raya untuk tempoh lima tahun. Pentadbiran negeri diketuai oleh seorang Menteri Besar atau Ketua Menteri.
Pemberian taraf kewarganegaraan dibuat berasaskan perkara-perkara berikut:
Mereka yang telah menjadi warganegara Persekutuan sebelum Hari Merdeka.
Semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu pada atau selepas Hari Merdeka.
Mereka yang berumur 18 tahun ke atas yang dilahirkan di Persekutuan dan telah bermastautin selama lima daripada tujuh tahun yang terdahulu, boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan mengangkat sumpah taat setia.
Mereka yang berumur 21 tahun ke atas yang dilahirkan di luar Persekutuan, tetapi telah bermastautin selama lapan daripada 12 tahun yang terdahulu, dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu serta mengangkat sumpah taat setia.
Pemilikan dua kerakyatan tidak dibenarkan, kecuali bagi mereka yang memiliki kerakyatan Komenwel.
Peruntukan tentang bahasa, iaitu:
Bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan di Tanah Melayu. Pembelajaran dan penggunaan bahasa-bahasa asing yang lain secara umumnya tidak dilarang.
Bahasa Inggeris boleh digunakan dalam persidangan Majlis Mesyuarat Undangan dan mahkamah atau lain-lain urusan rasmi dalam tempoh 10 tahun selepas merdeka.
Terdapat dua peruntukan lain yang berhubung dengan agama Islam dan kedudukan istimewa orang Melayu, iaitu:
Agama Islam dijadikan agama rasmi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas di mana-mana tempat dalam Persekutuan.
Kedudukan istimewa orang Melayu dijamin oleh perlembagaan, iaitu berhubung dengan pemberian tanah di kawasan simpanan, kuota dalam perkhidmatan awam dan perkhidmatan lain serta keutamaan dalam pemberian biasiswa, lesen perniagaan dan lain-lain bantuan kerajaan 9 .
9 Ruslan Zainuddin et. al. (2004), Kenegaraan dan kewarganegaraan, Selangor: Fajar Bakti, hal 160-163.
Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani oleh raja-raja Melayu dan Persuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGallivry di King’s House, Kuala Lumpur pada 5 Ogos 1957. Perjanjian itu mengekalkan sebahagian besar struktur Perjanjian Persekutuan, 1948 dengan kedudukan raja-raja Melayu sebagai raja berperlembagaan, pembahagian kuasa antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Negeri 10 .
Pada pukul 12.00 tengah malam 30 Ogos 1957, bendera Union Jack diturunkan di Padang Kelab Selangor sebagai menandakan berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.Pada pagi 31 Ogos 1957di Stadium Merdeka, wakil Ratu Elizabeth II menyerahkan dokumen pengisytiharan kemerdekaan kepada Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri Pertama. Tunku kemudiannya melaungkan perkataan ‘merdeka’ sebanyak tiga kali dan disambut oleh ribuan rakyat yang hadir di stadium itu.
Upacara bersejarah ini disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad, kesemua raja Melayu dan wakil-wakil kerajaan asing. Pada hari yang sama, kabinet Persekutuan Tanah Melayu yang pertama diumumkan 10 .
10 Ruslan Zainuddin et. al. (2004), Kenegaraan dan Kewarganegaraan. Selangor: Fajar Bakti, hal 164
Kehadiran
Sila isi kehadiran untuk minggu ini di form yang disediakan.