SISTEM TULISAN JAWI
Tulisan Jawi dikenali sebagai Pegon & Gundhil di daerah Jawa, Jawi di Aceh Darussalam, Yawi di Pattani, Jawi di Sumatera (Riau, Sumatera Barat, Jambi dan Sumatera Selatan), Malaysia juga Brunei Darussalam. Tulisan Pegon digunapakai untuk menulis bahasa Jawa, Madura, Palembang dan Sunda. Pegon berasal dari kata bahasa Jawa iaitu pego yang bermaksud menyimpang. Huruf Pegon di Jawa digunakan oleh orang Islam terutamanya di pesantren atau pondok-pondok pengajian agama seperti kitab Tafsir al-Ibriz dan al-Munjiyat bahasa Jawa.
Contoh aksara Jawi
Tulisan Jawi telah wujud sejak 1300M di Kepulauan Melayu dan berkembang di Tanah Melayu sejak kedatangan Islam pada abad ke-10 menerusi aktiviti perdagangan Arab yang datang untuk berniaga di Kepulauan Melayu. Asal usul nama jawi berasal dari kata nama bahasa Arad iaitu ‘Jawah’. Perkataan Jawi dan Jawah mungkin berasal dari perkataan ‘Javadwipa’ iaitu nama bagi daerah Asia Tenggara. Panggilan ‘Jawi’ sesuai dengan empat elemen penting iaitu orang Jawi, bangsa Jawi, bahasa Jawi dan tulisan Jawi yang bermaksud orang Melayu, umat Melayu, bahasa Melayu dan tulisan Jawi.
Ciri-ciri tulisan Jawi ialah, sistem tulisan jawi ditulis dan dibaca dari kanan ke kiri. Penulisan tulisan Jawi tidak serupa dengan tulisan Rumi. Sistem tulisan Jawi tidak mempunyai huruf besar dan huruf kecil. Namun begitu, terdapat beberapa huruf tertentu yang mempunyai perubahan bentuk apabila disambungkan dengan huruf lain. Tulisan Jawi menjadi satu alat dalam sistem penulisan, penyalinan dan penterjemahan serta berfungsi sebagai penyalur utama media persuratan Melayu Islam. Ini berlaku kerana pada masa itu, masyarakat Melayu baru menerima ajaran Islam.
Selain itu, tulisan Jawi mempunyai 37 huruf. Namun, huruf asal tulisan Arab ialah 31 huruf Jawi yang boleh dipadankan dengan fonem Arab manakala enam lagi ialah huruf Jawi. Enam huruf selebihnya ialah ca, nga, fa, ga, nya dan va. Enam huruf ini tidak wujud kerana huruf ini merupakan fonem yang wujud dalam sistem fonologi bahasa Melayu.
Seterusnya, ciri lain tulisan Jawi ialah ligatur iaitu dua huruf atau lebih yang disambungkan untuk menjadi satu perkataan. Cirinya juga ialah aksara berbaris dan mempunyai titik seperti ba, ta dan sebagainya. Tulisan Jawi juga ditulis sebagai bersambung. Namun terdapat juga huruf jawi yang tidak boleh disambung seperti alif, wau, ya dan lain lain.
Tulisan jawi mempunyai tahap perkembangan iaitu tahap pertama, kedua, ketiga dan keempat. Pada tahap pertama, tulisan Jawi mengikut ejaan Arab sepenuhnya dari segi tanda-tanda baris. Namun, pada tahap ini tulisan Jawi mempunyai kelemahan iaitu tiada lambang vokal e pepet. Tahap kedua pula, tulisan Jawi ditulis tanpa menggunakan baris atau tulisan Arab gondol. Tahap ini juga mempunyai kelemahan iaitu sukar untuk menyebut perkataan untuk menghasilkan perkataan homograf iaitu ejaan yang sama. Ini juga akan menyebabkan berlaku makna yang berbeza. Tulisan Jawi diikuti dengan tahap ketiga. Pada tahap ketiga, sistem ejaan Jawi telah dipengaruhi oleh Melayu iaitu menggunakan huruf-huruf saksi atau vokal seperti alif, wau dan ya. Huruf vokal ini diletakkan pada suku kata pertama sahaja menyebabkan kesukaran untuk membaca. Pada tahap terakhir iaitu tahap keempat, huruf-huruf saksi telah digunakan dalam suku kata pertama dan kedua.
Bukti kewujudan sistem tulisan Jawi ialah penemuan Batu Bersurat Terengganu pada 1303M. Ini menunjukkan tulisan Jawi telah sampai lebih awal berbanding tulisan rumi. Selain itu, penemuan batu nisan pertama di Sumatera pada 55Hijrah dan di Kedah pada 290Hijrah membuktikan bahawa tulisan Jawi telah berasal dari orang Arab dan telah diubah suai dengan menambahkan beberapa huruf tambahan untuk disuaikan dengan gaya bahasa orang Melayu. Manuskrip tangan yang paling tua ialah Aqa’id al-Nasafi juga dijumpai ditulis menggunakan tulisan Jawi.