AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
MENUMBOK, 7 Oktober 2026 – Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Penyu meneruskan usaha menyantuni warga pendidikan yang telah bersara melalui Program Ziarah Pesara Bahagian 2 yang dilaksanakan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan mereka sepanjang berkhidmat dalam bidang pendidikan.
Rombongan PPD Kuala Penyu yang terdiri daripada enam orang pegawai telah diketuai oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid, Encik Azrih bin Taip.
Dalam program ini, rombongan telah menziarahi tiga orang pesara yang menetap di sekitar kawasan Menumbok, iaitu:
Cik Zainab binti Sulaiman – Kg. Padang Golf, Menumbok
Encik Masdon bin Barahim – Kg. Sarap
Puan Laimah binti Tarsil – Kg. Tanjung Aru, Menumbok
Kunjungan ini bukan sekadar bertujuan menyampaikan tanda ingatan, malah menjadi ruang untuk bertanya khabar, berkongsi kenangan serta mengeratkan hubungan kekeluargaan antara PPD Kuala Penyu dengan para pesara pendidikan.
Sumbangan dan pengalaman para pesara merupakan sebahagian daripada sejarah serta legasi pendidikan yang telah membantu membentuk perkembangan pendidikan di daerah Kuala Penyu. Justeru, penghargaan terhadap jasa mereka wajar terus dipupuk sebagai tanda menghormati pengorbanan dan khidmat yang telah dicurahkan.
Program Ziarah Pesara ini turut memperlihatkan komitmen PPD Kuala Penyu dalam membudayakan nilai cakna, prihatin dan menghargai jasa warga pendidikan, sama ada yang masih aktif berkhidmat mahupun yang telah menamatkan perkhidmatan.
Walau persaraan memisahkan tugas, jasa dan silaturahim tetap terpahat di hati.