AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
KUALA PENYU, Pada 18 hingga 19 Mei 2026, Program Selia Bantu Minda Sihat telah dilaksanakan di empat buah sekolah iaitu SK Janang, SK Pekan Kuala Penyu, SK St. Peter Bundu dan SK Tanjung Aru. Program ini dikendalikan oleh Jurulatih Utama (JU) Daerah, Pn. Anizon binti Amran dan Pn. Jismah binti Jadul, sebagai usaha memperkukuh pelaksanaan Program Minda Sihat di peringkat sekolah.
Program selia bantu ini bertujuan meningkatkan kesejahteraan mental dan emosi secara keseluruhan, khususnya dalam kalangan murid sekolah. Selain itu, program ini turut memberi penekanan kepada aspek pemantauan, sokongan dan bimbingan kepada guru bimbingan dan kaunseling dalam mengurus serta melaksanakan intervensi yang bersesuaian berdasarkan keperluan murid.
Sepanjang sesi selia bantu, pelbagai perkara berkaitan pelaksanaan Program Minda Sihat telah dibincangkan termasuk pengurusan data saringan, dokumentasi program, pelaksanaan aktiviti intervensi dan tindakan susulan terhadap murid yang dikenal pasti berisiko. Pihak sekolah turut diberi peluang untuk berkongsi amalan terbaik serta cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan program tersebut.
Rumusan
Secara keseluruhannya, guru bimbingan dan kaunseling bagi semua sekolah yang terlibat telah diberikan panduan serta bimbingan berkaitan pelaksanaan intervensi yang sesuai untuk murid-murid berisiko berdasarkan dapatan Saringan Minda Sihat Fasa Pertama. Program selia bantu ini diharapkan dapat membantu sekolah memperkukuh tindakan intervensi yang lebih sistematik dan berkesan dalam memastikan kesejahteraan mental serta emosi murid sentiasa berada pada tahap yang baik.