AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
MENUMBOK, 8 September 2026 – Karnival Seni Jauhi Dadah (SEJADAH) telah berlangsung dengan meriah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menumbok pada 8 September 2026, melibatkan penyertaan empat daerah iaitu Daerah Papar, Daerah Beaufort, Daerah Sipitang dan Daerah Kuala Penyu.
Majlis perasmian Karnival SEJADAH telah disempurnakan oleh Dr Suntik bin Tuin, Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Penyu.
Karnival ini merupakan salah satu platform pendidikan pencegahan dadah yang mengetengahkan pendekatan seni, kreativiti dan ekspresi bakat murid sebagai medium untuk menyampaikan mesej kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah serta membentuk gaya hidup yang sihat dan positif dalam kalangan murid.
Sebanyak 10 acara pertandingan telah dipertandingkan sepanjang karnival ini, melibatkan kategori sekolah menengah dan sekolah rendah. Bagi setiap kategori, sebanyak lima acara dipertandingkan yang terdiri daripada dua acara berkumpulan dan tiga acara individu.
Penglibatan murid daripada empat daerah ini bukan sahaja memberi peluang kepada mereka untuk menyerlahkan bakat dan kreativiti, malah turut menggalakkan pembinaan keyakinan diri, semangat kerjasama, komunikasi berkesan serta ketahanan diri dalam menghadapi pengaruh negatif.
Selain pertandingan, Karnival SEJADAH turut dimeriahkan dengan reruai pameran dan hebahan pendidikan pencegahan daripada pelbagai agensi strategik. Antara agensi yang terlibat ialah Klinik Kesihatan Menumbok, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), AADK Cawangan Papar, Balai Bomba Kuala Penyu serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) Menumbok.
Penglibatan agensi-agensi berkenaan memberikan nilai tambah kepada karnival melalui perkongsian maklumat, pendidikan pencegahan dan kesedaran kepada murid serta warga sekolah mengenai risiko penyalahgunaan dadah dan kepentingan mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Karnival SEJADAH turut memperlihatkan komitmen berterusan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Penyu bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, sekolah dan agensi rakan strategik dalam memperkukuh usaha pendidikan pencegahan dadah melalui pendekatan yang kreatif, interaktif dan dekat dengan dunia murid.
Program ini diharapkan dapat melahirkan generasi murid yang berdaya tahan, berkeyakinan, mempunyai jati diri serta mampu membuat pilihan yang positif, sekali gus menyokong usaha mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, sihat dan bebas daripada penyalahgunaan dadah.