AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
Kuala Penyu – Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Program Susu Sekolah telah dilaksanakan bermula minggu pertama sesi persekolahan di semua sekolah terlibat di Daerah Kuala Penyu, selaras dengan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memastikan kebajikan dan kesihatan murid sentiasa terpelihara.
Pelaksanaan awal kedua-dua program ini bertujuan memastikan murid, khususnya daripada golongan yang memerlukan, mendapat pemakanan seimbang dan berkhasiat sejak awal sesi persekolahan bagi menyokong tahap kesihatan, tumpuan dan pencapaian pembelajaran mereka.
Program RMT menyediakan makanan berkhasiat kepada murid terpilih mengikut kriteria yang ditetapkan, manakala Program Susu Sekolah pula membekalkan susu kepada murid sebagai sumber nutrisi tambahan bagi menyokong tumbesaran dan perkembangan fizikal mereka.
Pihak Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Penyu dengan kerjasama pihak sekolah memastikan pelaksanaan program berjalan dengan teratur, selamat dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Pemantauan berterusan turut dilaksanakan bagi menjamin kualiti makanan dan kebersihan sepanjang program dijalankan.
Diharapkan pelaksanaan Program RMT dan Program Susu Sekolah ini dapat memberi impak positif kepada kesejahteraan murid serta menyokong usaha melahirkan generasi yang sihat, cergas dan bersedia untuk mengikuti proses pembelajaran dengan lebih berkesan.