AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
KUALA PENYU – Temasya sukan tahunan yang dinanti-nantikan, Kejohanan Sukan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kuala Penyu bagi tahun 2026, telah melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang. Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Mei 2026 itu menyaksikan Zon Menumbok dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan.
Pada tahun ini, SK Kilugus telah dipilih menjadi tuan rumah dan berjaya menggalas tanggungjawab tersebut dengan cemerlang, menyediakan fasiliti serta suasana pertandingan yang amat kondusif buat para atlet muda.
Sepanjang tiga hari kejohanan, trek dan padang SK Kilugus menjadi saksi kebangkitan bakat-bakat muda dari pelbagai zon di daerah Kuala Penyu. Namun, konsistensi dan dominasi atlet dari Zon Meumbok dalam pelbagai acara olahraga akhirnya membuahkan hasil lumayan apabila mereka berjaya membawa pulang piala pusingan utama.
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada SK Kilugus atas komitmen luar biasa dalam memastikan kelancaran kejohanan dari hari pertama sehingga upacara penutupan. Pengurusan logistik yang sistematik dan kawalan keselamatan yang baik mendapat pujian daripada kontinjen-kontinjen yang bertanding.
Kejohanan MSSD tahun ini bukan sahaja menjadi medan melahirkan atlet pelapis untuk ke peringkat MSS Sabah, malah menjadi platform terbaik dalam memupuk perpaduan dan disiplin yang tinggi dalam kalangan murid-murid daerah Kuala Penyu.