AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
KUALA PENYU, 12 Februari 2026 – Kejohanan Merentas Desa Daerah Kuala Penyu telah berlangsung dengan jayanya selama dua hari berturut-turut melibatkan penyertaan sekolah rendah dan sekolah menengah di sekitar daerah ini.
Bagi kategori sekolah rendah, kejohanan telah diadakan pada 11 Februari 2026 dengan penyertaan murid-murid tahap dua dari pelbagai sekolah rendah daerah Kuala Penyu. Sementara itu, kategori sekolah menengah pula berlangsung pada 12 Februari 2026 yang menyaksikan saingan sengit dalam kalangan pelajar dari beberapa buah sekolah menengah.
Kejohanan pada tahun ini telah dikelolakan oleh Zon Bundu bagi kategori sekolah rendah dan Sekolah Menengah Kebangsaan St. Peter Bundu bagi kategori sekolah menengah. Kerjasama erat antara pihak sekolah, guru-guru, serta sokongan ibu bapa telah memastikan perjalanan acara berjalan lancar dan teratur. Para peserta menunjukkan semangat juang yang tinggi sepanjang laluan larian yang telah ditetapkan di sekitar kawasan Bundu dan sekitarnya.
Majlis perasmian dan pelepasan peserta telah disempurnakan oleh wakil Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Penyu yang dalam ucapannya menekankan kepentingan penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum serta pembentukan sahsiah melalui sukan.
Secara keseluruhannya, kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan pemilihan atlet untuk mewakili daerah ke peringkat seterusnya, malah berjaya memupuk semangat kesukanan, kerjasama dan gaya hidup sihat dalam kalangan murid dan pelajar.
Majlis penyampaian hadiah telah diadakan sejurus tamat acara pada setiap hari kejohanan dalam suasana penuh meriah dan harmoni.