AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
Kuala Penyu, 5 Februari 2026 – Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Penyu telah menganjurkan Kursus Guru Bimbingan dan Kaunseling yang berlangsung pada 04 hingga 05 Februari 2026, bermula jam 2.00 hingga 5.00 petang bertempat di Bilik Inspire Kecemerlangan, PPD Kuala Penyu.
Kursus ini diadakan bagi memperkukuh kompetensi dan profesionalisme Guru Bimbingan dan Kaunseling dalam melaksanakan perkhidmatan bimbingan yang lebih berkesan di sekolah. Sepanjang kursus berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai input berkaitan pengurusan kes, teknik intervensi, serta perkongsian amalan terbaik dalam menangani isu-isu murid.
Majlis penutupan kursus telah disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid, Azrih bin Taip. Dalam ucapan ringkas beliau, beliau merakamkan penghargaan kepada semua fasilitator dan peserta atas komitmen serta kesungguhan sepanjang kursus berlangsung. Beliau turut menegaskan kepentingan peranan Guru Bimbingan dan Kaunseling dalam membentuk kesejahteraan emosi dan sahsiah murid.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para fasilitator dan sijil penyertaan kepada semua peserta kursus sebagai tanda penghargaan atas penglibatan aktif mereka.
Diharapkan kursus ini dapat memberi impak positif dalam memperkasakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah-sekolah Daerah Kuala Penyu selaras dengan hasrat meningkatkan kemenjadian murid.