AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
Kuala Penyu, 22 Januari 2026 – Mesyuarat Pengurusan Sukan dan Kokurikulum Bil. 1/2026 telah berjaya dilaksanakan pada 22 Januari 2026, jam 2.00 petang, bertempat di Bilik Mesyuarat Inspire Kecemerlangan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Penyu.
Mesyuarat ini telah dihadiri oleh Penolong Kanan Kokurikulum (PK Kokurikulum) dari sekolah-sekolah di daerah Kuala Penyu sebagai platform penyelarasan dan perancangan awal pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum bagi sesi persekolahan 2026.
Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Penyu, Dr. Suntik Tuin, yang telah menyampaikan amanat serta penegasan berkaitan kepentingan pengurusan sukan dan kokurikulum yang sistematik, berfokus dan selari dengan hala tuju Kementerian Pendidikan Malaysia dalam pembangunan sahsiah serta potensi murid secara menyeluruh.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk perancangan aktiviti tahunan, penyelarasan program peringkat daerah, pengurusan pertandingan sukan, serta penambahbaikan pelaksanaan kokurikulum bagi memastikan penglibatan murid yang optimum dan berimpak tinggi.
Mesyuarat ini diharapkan dapat memperkukuh kerjasama antara PPD dan pihak sekolah serta memastikan pengurusan sukan dan kokurikulum di daerah Kuala Penyu dilaksanakan dengan lebih berkesan dan terancang sepanjang tahun 2026.