AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
Program HEKO-X Perkasa Pengurusan Kokurikulum dan Pemantapan PAJSK
SK Pekan Menumbok, 02 Mac 2026 (Selasa) – Program HEKO-X anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Penyu melalui Sektor Pembangunan Murid telah berjaya dilaksanakan dengan memberi penekanan kepada pengukuhan pengurusan Hal Ehwal Murid (HEM) dan Kokurikulum di peringkat sekolah.
Program ini merupakan inisiatif berfokus bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan aktiviti kokurikulum, khususnya dalam aspek Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Taklimat pada sesi kali ini memberi tumpuan kepada peranan Unit Kokurikulum dalam memastikan pengurusan aktiviti yang lebih sistematik serta mampu meningkatkan pencapaian dan penglibatan murid secara menyeluruh.
Taklimat telah disampaikan oleh Abdul Rahman bin Mohd Taib, Penolong Pegawai Unit Bakat Murid, yang menekankan kepentingan perancangan strategik, pemantauan pelaksanaan program serta pengurusan data PAJSK yang tepat dan berintegriti. Peserta turut didedahkan dengan pendekatan praktikal dan strategi berimpak tinggi bagi meningkatkan skor PAJSK di peringkat sekolah.
Penganjuran Program HEKO-X ini diharapkan dapat membantu pihak sekolah memperkukuh tadbir urus kokurikulum secara lebih berkesan, seterusnya menyokong pembangunan potensi murid secara holistik selaras dengan aspirasi pendidikan negara.