AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
KUALA PENYU, 21 OKTOBER 2026 – Forum bertajuk “Buli: Luka Yang Tak Nampak” telah diadakan di SMK St Peter Bundu, Kuala Penyu, bersempena dengan Hari Kesihatan Mental Peringkat Daerah Kuala Penyu. Program anjuran Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kesan buli terhadap kesihatan mental, emosi dan kesejahteraan murid.
Forum ini menampilkan tiga orang panel daripada bidang pendidikan, kepolisan dan kesihatan. Encik Suffian bin Masrah, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Penyu, mewakili Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Penyu, bersama seorang pegawai polis dan seorang doktor.
Turut hadir mewakili PPD Kuala Penyu ialah Encik Azrih bin Taip, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, serta Encik Clarence Xavier dan Puan Aisyah binti Ag Damit, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah.
Perkongsian daripada ketiga-tiga bidang ini memberi perspektif yang berbeza tentang isu buli, termasuk aspek pendidikan, keselamatan dan kesihatan mental. Buli bukan sahaja meninggalkan kesan fizikal, malah boleh menjejaskan emosi, keyakinan diri dan kesejahteraan psikologi mangsa.
Sehubungan itu, warga sekolah diseru supaya tidak berdiam diri apabila menyaksikan kejadian buli. Murid yang menjadi mangsa atau saksi hendaklah segera melaporkan kejadian kepada guru, guru bimbingan dan kaunseling atau pihak pentadbir sekolah. Semua aduan perlu diberikan perhatian serius demi memastikan keselamatan dan kebajikan murid terpelihara.
Penganjuran forum ini mencerminkan kepentingan kerjasama antara agensi kesihatan, pihak polis dan sektor pendidikan dalam usaha membendung buli serta mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, prihatin dan menyokong kesihatan mental.
JANGAN BERDIAM DIRI. JANGAN JADI PEMBULI. JADILAH PELINDUNG.
Hentikan buli, berani bersuara dan bersama-sama menjaga kesihatan mental demi kesejahteraan semua.
#PPDKualaPenyu #HariKesihatanMental #HentikanBuli #BuliLukaYangTakNampak #SekolahSelamat