AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
Kuala Penyu – Kerajaan meneruskan komitmen membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dengan menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Sesi 2026 kepada semua murid yang layak di seluruh negara, termasuk di Daerah Kuala Penyu.
Melalui inisiatif ini, setiap murid menerima bantuan sebanyak RM150, yang bertujuan membantu perbelanjaan awal persekolahan seperti pembelian kelengkapan sekolah, buku dan keperluan asas pembelajaran.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menggalakkan agar penyerahan Bantuan Awal Persekolahan dilaksanakan pada minggu pertama persekolahan bagi memastikan murid dapat memulakan sesi persekolahan baharu dalam keadaan lebih bersedia dan selesa.
Di Daerah Kuala Penyu, seramai murid daripada 30 buah sekolah bakal menerima manfaat bantuan ini, melibatkan 4 buah sekolah menengah dan 26 buah sekolah rendah. Pihak Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Penyu bekerjasama rapat dengan pihak sekolah bagi memastikan proses agihan berjalan dengan teratur, telus dan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Diharapkan bantuan ini dapat memberi kelegaan kepada ibu bapa serta menyokong kelangsungan pembelajaran murid, sejajar dengan usaha kerajaan memperkasa sistem pendidikan negara dan memastikan tiada murid tercicir daripada arus pendidikan.