AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
Kuala Penyu – Program STEM Generasi Madani Peringkat Daerah Kuala Penyu 2025 telah berlangsung dengan meriah pada 8 hingga 9 Julai 2025 bertempat di SMK Kuala Penyu. Program ini merupakan platform penting bagi memupuk minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
Pelbagai acara menarik telah dipertandingkan sepanjang dua hari program, antaranya ialah pertandingan Water Rocket, Innovator dan Talent Show. Pertandingan-pertandingan ini bukan sahaja menguji kreativiti dan inovasi para peserta, tetapi juga kemahiran berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah.
Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada sekolah-sekolah di sekitar daerah Kuala Penyu. Para peserta terdiri daripada murid sekolah rendah dan menengah yang hadir dengan semangat tinggi dan persembahan yang penuh inovatif.
Antara acara yang mencuri tumpuan ialah pertandingan Water Rocket, yang menyaksikan pelancaran roket buatan sendiri menggunakan prinsip fizik asas. Manakala dalam pertandingan Innovator, murid-murid mempersembahkan idea ciptaan mereka yang mampu memberikan manfaat kepada komuniti. Sementara itu, Talent Show pula memberi ruang kepada pelajar untuk menonjolkan bakat STEM secara kreatif melalui persembahan berbentuk drama, nyanyian, atau puisi bertemakan teknologi dan sains.
Penganjuran program ini telah membuktikan bahawa murid-murid di daerah Kuala Penyu mempunyai potensi besar dalam bidang STEM dan mampu bersaing di peringkat lebih tinggi. Program ini juga berjaya menyemai semangat kerjasama, komunikasi serta keyakinan diri dalam kalangan pelajar.
Tahniah kepada semua peserta, guru pembimbing dan urus setia atas kejayaan menganjurkan program yang bermakna ini. Semoga inisiatif seperti ini akan terus menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan STEM di daerah Kuala Penyu