AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
Kuala Penyu, 28 Ogos 2025 – Program STEM Exploration Camp Kuala Penyu Tahun 2025 (StEC 3.0) telah berlangsung dengan jayanya pada 26 hingga 28 Ogos 2025 bertempat di SK Pekan Menumbok. Program berprestij peringkat antarabangsa ini dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Penyu dengan kerjasama pengelola, SK Pekan Menumbok.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Harun Durabi, Pembantu Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Turut hadir memberikan sokongan padu ialah Datuk Haji Raisin bin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serta En. Azrih bin Taip, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Penyu serta jemputan tetamu yang lain.
Program kali ini berjaya menghimpunkan seramai 135 orang peserta bersama 75 orang guru pembimbing, melibatkan 73 buah sekolah dari seluruh Malaysia. Lebih membanggakan, StEC 3.0 turut menerima penyertaan daripada dua negara jiran iaitu Negara Brunei Darussalam dan Indonesia, sekali gus mengangkat martabat program ke peringkat antarabangsa.
StEC 3.0 mendapat sokongan padu daripada empat institusi pendidikan, iaitu Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau, IPG Kampus Kent Tuaran, IPG Kampus Gaya dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Penganjuran ini bertujuan memperkukuh minat serta keterlibatan murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), di samping membuka peluang kolaborasi serantau dalam dunia pendidikan. Melalui pengisian berbentuk pembelajaran interaktif, pertandingan inovasi, dan perkongsian ilmu, peserta didedahkan dengan pengalaman bermakna yang diyakini mampu melahirkan generasi celik STEM seiring dengan tuntutan Revolusi Industri 4.0.
Penganjur berharap program ini akan terus menjadi platform tahunan yang mampu memupuk kerjasama antarabangsa, memperkukuh jaringan pendidikan serta mencungkil potensi pelajar dalam bidang STEM pada masa hadapan.