AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
Pulau Tiga, Kuala Penyu, 17 Julai 2025 – Program Renjer Muda anjuran Taman-Taman Sabah telah berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat dan penglibatan aktif para pelajar dari dua buah sekolah menengah di daerah Kuala Penyu, iaitu SMK Pekan Kuala Penyu dan SMK St. Peter Bundu.
Program selama tiga hari yang berlangsung di lokasi ikonik Pulau Tiga ini telah menghimpunkan pelajar terpilih bagi memupuk nilai cintakan alam semula jadi, tanggungjawab sosial serta kesedaran terhadap pemuliharaan warisan taman negara. Para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti lawatan ekologi, gotong-royong pembersihan pantai, ceramah pemeliharaan biodiversiti serta aktiviti lasak berkonsepkan renjer taman.
Menurut pihak penganjur, program ini bertujuan untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cakna terhadap alam sekitar, tetapi juga berpotensi menjadi agen perubahan dalam komuniti mereka kelak.
Para pelajar menunjukkan minat dan kerjasama yang tinggi sepanjang program berlangsung, sekali gus menjadikan pengalaman di Pulau Tiga sebagai satu kenangan berharga dan bermakna buat mereka.
Dengan kejayaan penganjuran tahun ini, Taman-Taman Sabah berharap untuk meneruskan kesinambungan program ini di masa hadapan dengan penglibatan lebih banyak sekolah dari seluruh negeri.