AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
KUALA PENYU, 2 Julai – Satu sesi bimbingan pengurusan kokurikulum telah berjaya dilaksanakan di SJKC Chung Hwa pada 2 Julai 2025. Program ini dilaksanakan di bawah inisiatif SPARK yang membawa aspirasi Sistematik, Produktif, Adaptif, Responsif dan Konsisten dalam usaha memperkasakan tadbir urus kokurikulum di peringkat sekolah.
Program ini disasarkan kepada semua guru SJKC Chung Hwa dengan tujuan memperkukuh kefahaman serta meningkatkan kecekapan guru dalam mengurus aspek kokurikulum secara sistematik dan berkesan. Antara pengisian utama adalah perkongsian berkaitan pelaksanaan 1 Murid 1 Sukan (1M1S) yang menekankan penglibatan menyeluruh murid dalam aktiviti sukan sebagai medium pembangunan sahsiah dan kesihatan.
Selain itu, sesi turut memberi penekanan terhadap pengurusan data PAJSK yang tepat dan terkini, selaras dengan keperluan pelaporan serta penilaian penglibatan murid dalam kokurikulum. Peserta juga didedahkan dengan kaedah pengurusan fail kokurikulum yang lebih teratur, merangkumi fail unit beruniform, kelab dan persatuan, serta sukan dan permainan.
Perbincangan turut menyentuh aspek dokumentasi mesyuarat dan rekod penyertaan murid, yang merupakan elemen penting dalam memastikan setiap aktiviti direkod dengan lengkap dan boleh dijadikan rujukan pada masa hadapan. Guru-guru turut diberi peluang berbincang serta bertukar pandangan bagi menambah baik pelaksanaan kokurikulum sedia ada.
Melalui pelaksanaan bimbingan ini, diharapkan pengurusan kokurikulum di sekolah akan menjadi lebih tersusun dan memberi impak positif terhadap pembangunan sahsiah dan potensi murid secara holistik selaras dengan aspirasi Program SPARK.