AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sabah 2025 telah berlangsung dengan meriah di Stadium Tambunan bermula 30 Jun hingga 4 Julai 2025. Acara tahunan ini menghimpunkan atlet-atlet olahraga terbaik dari seluruh daerah di Sabah bagi merebut kejuaraan dalam pelbagai acara trek dan balapan.
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Penyu telah menghantar kontinjen seramai 21 orang atlet bersama 11 orang pegawai yang terdiri daripada jurulatih, pengurus pasukan dan guru pengiring. Para atlet merupakan murid-murid yang terpilih melalui saringan dan kejohanan peringkat zon dan daerah sebelumnya, dan mewakili Kuala Penyu dengan semangat kesukanan yang tinggi.
Sepanjang kejohanan, para atlet Kuala Penyu telah menunjukkan daya saing yang membanggakan, semangat juang yang tinggi serta disiplin sepanjang pertandingan. Kehadiran pasukan pegawai yang komited turut memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pengurusan kontinjen sepanjang berada di Tambunan.
Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan pertandingan, tetapi juga platform membina jati diri, semangat berpasukan dan potensi kepimpinan dalam kalangan murid.
PPD Kuala Penyu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pegawai, jurulatih, guru pengiring dan ibu bapa yang telah memberikan sokongan penuh kepada atlet-atlet daerah.
"Sukan Membentuk Sahsiah, Kuala Penyu Terus Melangkah!"