AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
MESYUARAT PERMUAFAKATAN POLIS BERSAMA PPD KUALA PENYU
Kuala Penyu, 23 September 2025 – Mesyuarat Permuafakatan Polis bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Penyu telah diadakan pada 23 September 2025 bertempat di Bilik Inspire Kecemerlangan, PPD Kuala Penyu. Mesyuarat ini menjadi platform penting dalam membina jalinan kerjasama erat antara pihak polis dengan warga pendidikan daerah Kuala Penyu demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar sentiasa terjamin.
Mesyuarat turut dihadiri oleh barisan pegawai polis antaranya:
DSP Mail B. Sundongi – Timbalan Ketua Polis Daerah
ASP Zulkifly Hj Manuli – Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah & Keselamatan Komuniti
Insp Berry – Wakil Ketua Bahagian Siasatan Jenayah
Insp Hamid – Ketua Bahagian Siasatan Trafik
Insp Romizah – Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial
ASP Zuki – Ketua Bahagian Siasatan Narkotik
Selain itu, mesyuarat ini turut disertai oleh pengetua, guru besar serta wakil sekolah-sekolah daerah Kuala Penyu.
Dalam ucapan alu-aluan, Dr. SUNTIK TUIN, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Penyu, menegaskan bahawa kerjasama strategik antara pihak sekolah dan polis amat penting bagi menangani isu disiplin pelajar, keselamatan sekolah, serta gejala sosial yang boleh menjejaskan pembangunan sahsiah murid. Beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan padu pihak polis dalam membantu pihak sekolah melaksanakan pencegahan jenayah dan meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan pelajar.
Mesyuarat ini telah merumuskan beberapa strategi bersama, termasuk meningkatkan rondaan di kawasan sekolah, program pencegahan jenayah, ceramah kesedaran keselamatan, serta memperkukuh komunikasi dua hala antara polis, sekolah dan komuniti.
Dengan adanya mesyuarat permuafakatan ini, diharapkan hubungan erat antara pihak PDRM dan PPD Kuala Penyu dapat terus diperkasa bagi melahirkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, harmoni, dan kondusif untuk generasi muda.