AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
MAJLIS SIMBOLIK PEMAKAIAN LENCANA JALUR GEMILANG PADA PAKAIAN SERAGAM MURID DI INSTITUSI PENDIDIKAN BAWAH KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
Kuala Penyu, 21 April – Satu majlis penuh patriotik telah diadakan di SJK(C) Chung Hwa Kuala Penyu pagi ini sempena Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada Pakaian Seragam Murid di Institusi Pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Penyu, Dr. Suntik bin Tuin, yang turut menyampaikan ucapan serta menyempurnakan gimik pemakaian lencana Jalur Gemilang kepada wakil murid sekolah.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, diikuti dengan Ikrar Rukun Negara serta bacaan doa. Seterusnya, mesej Duta Sahsiah disampaikan kepada para pelajar sebagai pengisian nilai murni dan semangat cintakan negara.
Dalam ucapannya, Dr. Suntik menekankan kepentingan memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda dan bagaimana simbol seperti lencana Jalur Gemilang boleh membentuk jati diri dan kecintaan terhadap negara sejak di bangku sekolah.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan gimik pemakaian lencana Jalur Gemilang, di mana para murid memakai lencana pada pakaian seragam masing-masing sebagai simbol kebanggaan dan penghormatan kepada negara.
Acara diakhiri dengan sesi bergambar bersama murid, guru dan pihak pengurusan sebelum bersurai.
Majlis ini bukan sahaja mencerminkan semangat kebangsaan, malah menjadi platform penting dalam membentuk identiti nasional dalam kalangan warga sekolah.