AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
KUNAK, 28 Mei 2025 – Perkhemahan Madani Kadet Remaja Sekolah (KRS) dan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) Peringkat Negeri Sabah 2025 telah melabuhkan tirainya dengan jayanya hari ini setelah berlangsung selama empat hari di SMK Madai, Kunak, bermula pada 25 hingga 28 Mei 2025.
Bertemakan “Semangat Hijau”, program anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah ini menghimpunkan lebih 480 peserta dari seluruh negeri, termasuk wakil dari daerah Kuala Penyu yang diwakili oleh murid-murid dari SK Sinapokan dan SJKC Chung Hwa seramai 10 orang.
Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang perkhemahan termasuk kawad kaki, latihan ikhtiar hidup, pertolongan cemas, ceramah integriti, aktiviti lasak, dan malam kebudayaan. Aktiviti-aktiviti ini bertujuan memupuk semangat patriotik, disiplin, jati diri, kerjasama serta kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar dalam kalangan pelajar.
Majlis penutup rasmi telah disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Kunak, Ybrs Dr Hj Suharpi bin Lasunddang, yang turut menyampaikan sijil penyertaan dan hadiah kepada para pemenang. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pendidikan berasaskan nilai Madani dalam membentuk pelajar yang seimbang dari segi rohani, jasmani dan intelek.
Menurut Guru Pengiring Kuala Penyu, penyertaan kali ini merupakan satu peluang emas bagi pelajar luar bandar untuk bergaul, berkongsi pengalaman dan meningkatkan keyakinan diri.
“Murid-murid dari SK Sinapokan dan SJKC Chung Hwa begitu teruja menyertai program ini. Walaupun datang dari sekolah yang kecil, semangat mereka setanding dengan peserta lain,” katanya.
Perkhemahan ini bukan sahaja menjadi medan kecemerlangan unit beruniform, malah turut berjaya menjalin ukhuwah antara pelajar pelbagai latar belakang budaya dan agama di seluruh negeri.