AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
KUALA PENYU, 31 Julai – Perkhemahan Madani Kadet Remaja Sekolah (KRS) dan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) Peringkat Daerah Kuala Penyu 2025 berjaya dilaksanakan pada 29 hingga 31 Julai 2025 bertempat di Rumah Budaya, Kuala Penyu.
Program selama tiga hari itu menghimpunkan penyertaan murid sekolah rendah dan menengah dari seluruh daerah Kuala Penyu dengan objektif memupuk semangat patriotisme, disiplin, kerjasama berpasukan, serta kemahiran kepimpinan.
Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk latihan kawad kaki, ikhtiar hidup, aktiviti riadah berpasukan, pengucapan awam, dan penghayatan nilai-nilai murni. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental, malah memperkukuh sahsiah dan jati diri peserta.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Penyu, Sektor Pembangunan Murid En. Azrih bin Taip yang merakamkan penghargaan kepada semua jurulatih, guru pengiring, dan pihak penganjur atas komitmen menjayakan program ini.
Perkhemahan ini diharap dapat melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berwawasan, dan berakhlak mulia, selaras dengan aspirasi pendidikan negara.