AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
Menumbok, 22 Jun – Seramai 40 orang murid dari tujuh buah sekolah rendah sekitar daerah Menumbok telah menyertai Program Intelek Asuhan Rohani (KEM PINTAR 2.0) anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama pihak sekolah. Program ini berlangsung selama tiga hari, bermula 20 hingga 22 Jun 2025 bertempat di SK Sangkabok, Menumbok.
Murid-murid yang terlibat mewakili SK Pekan Menumbok, SK Kilugus, SK Sinapokan, SK Sangkabok, SK Melikai, SK Tanjung Aru dan SK Lambidan. Program ini bertujuan memberikan pendedahan awal tentang bahaya penyalahgunaan dadah serta membentuk jati diri dan sahsiah mulia dalam kalangan murid sekolah rendah.
Sepanjang program, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti bermanfaat seperti ceramah antidadah, tazkirah rohani, latihan kerohanian, aktiviti kerjasama kumpulan, dan bengkel kepimpinan. Pendekatan secara interaktif dan santai telah menarik minat peserta untuk lebih memahami nilai-nilai murni dan kepentingan menjauhi gejala negatif.
Program ini berjaya membentuk kesedaran awal dalam kalangan murid agar menjadi generasi yang bebas dadah, berakhlak mulia dan berdisiplin tinggi. Pihak penganjur berharap agar usaha murni ini dapat diteruskan secara berterusan demi melahirkan murid yang seimbang dari aspek intelek, rohani dan emosi.