AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
KUALA PENYU, 14 Jun – Program Karnival Bahasa Melayu, Cina dan Inggeris (KBMCI) Peringkat Zon Beaufort telah berlangsung dengan jayanya di SJK(C) Chung Hwa Kuala Penyu, melibatkan penyertaan aktif daripada lapan buah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dalam Zon Beaufort.
Sekolah-sekolah yang terlibat ialah SJK(C) Chung Hwa Sipitang, SJK(C) Chung Hwa Mesapol, SJK(C) Sin Boon Sipitang, SJK(C) Pei Yin Membakut, SJK(C) Lian Hwa Beaufort, SJK(C) Kung Ming Beaufort, SJK(C) Chung Hwa Kuala Penyu dan SJK(C) Pui Hwa Menumbok.
Pelbagai acara pertandingan telah diadakan sepanjang karnival ini, antaranya termasuk Syarahan Bahasa Melayu, Ujian Bertulis Bahasa Melayu, Syarahan Bahasa Cina, Ujian Bertulis Bahasa Cina, Deklamasi Sajak Bahasa Cina, serta Syarahan Bahasa Inggeris. Pertandingan-pertandingan ini bertujuan untuk memupuk minat murid terhadap penguasaan bahasa serta meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran komunikasi mereka dalam tiga bahasa utama.
Majlis perasmian dan penutupan telah disempurnakan oleh Wakil Yang Berhormat Datuk Limus bin Jury, yang turut menyampaikan ucapan penuh inspirasi kepada para peserta dan hadirin. Turut hadir Tuan Azrih bin Taip, Timbalan Pegawai Daerah, Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Penyu yang hadir mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Penyu. Dalam ucapan beliau, Tuan Azrih menekankan kepentingan penguasaan pelbagai bahasa dalam era globalisasi serta menggalakkan murid-murid agar terus berani menyahut cabaran dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Program ini bukan sahaja menjadi platform pengukuhan penguasaan bahasa dalam kalangan murid, malah turut mengukuhkan jalinan kerjasama antara sekolah-sekolah di Zon Beaufort. Sambutan yang hangat dan penyertaan yang aktif membuktikan komitmen tinggi warga pendidik dalam memartabatkan pendidikan pelbagai bahasa di peringkat rendah.