AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
KUALA PENYU, 16 Jun 2026 – Bertempat di Bilik Inspire Kecemerlangan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Penyu, satu Bengkel Pengurusan Kokurikulum Daerah telah berlangsung bermula jam 8:30 pagi dengan kehadiran Pengetua dan Guru Besar (PGB) serta Penolong Kanan Kokurikulum (PK Kokum) dari sekolah-sekolah dalam daerah ini.
Majlis telah dipengerusikan oleh Ketua Sektor Pembangunan Murid, Tuan Azrih bin Taip, yang turut melancarkan gimik pelancaran Dashboard Sektor Pembangunan Murid. Pelancaran tersebut diserikan dengan tayangan montaj dan paparan kod QR bagi memudahkan para peserta mengakses laman dashboard berkenaan secara digital.
Sesi utama bengkel diteruskan dengan pembentangan kertas konsep oleh Tuan Abd Rahman bin Taip, Pegawai Pembangunan Bakat Murid, yang membentangkan tujuh inisiatif utama kokurikulum bagi tahun semasa:
Program Pembangunan Karektor Generasi Madani
Karnival STEM
Kem Sangar Bahasa
Perkhemahan KRS & TKRS Peringkat Daerah
Kem Lestari Madani
Semarak Seni
Bahas Ala-Parlimen Peringkat Negeri
Turut hadir memberi sokongan dan perkongsian ialah Tuan Clarence Xavier, juga Pegawai Pembangunan Bakat Murid, yang memainkan peranan penting dalam penyelarasan program-program pembangunan murid peringkat daerah dan negeri.
Bengkel ini merupakan platform penting bagi menyelaras hala tuju aktiviti kokurikulum, membina jaringan kerjasama antara pihak sekolah dan PPD, serta memastikan pelaksanaan program yang dirancang selaras dengan aspirasi pendidikan MADANI yang menekankan nilai, kesejahteraan dan keseimbangan holistik dalam pembangunan pelajar.
Bengkel telah melabuhkan tirainya tepat jam 12:00 tengah hari, dengan para peserta membawa pulang semangat baharu dan hala tuju yang lebih jelas untuk mengangkat mutu kokurikulum di peringkat sekolah masing-masing.