AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
PERKAMPUNGAN BAHASA BITARA GENERASI MADANI PERINGKAT DAERAH KUALA PENYU
KUALA PENYU, 30 September 2025 – Program Perkampungan Bahasa Bitara Generasi Madani Peringkat Daerah Kuala Penyu telah berlangsung dengan penuh meriah di SMK St. Peter Bundu pada hari ini. Program ini menghimpunkan seramai 100 orang pelajar yang terdiri daripada wakil empat buah sekolah menengah iaitu SMK St. Peter Bundu, SMK Kuala Penyu, SMK Pekan Kuala Penyu dan SMK Menumbok.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Penyu, Dr. Suntik Tuin, yang dalam ucapannya menekankan kepentingan penguasaan bahasa sebagai asas kecemerlangan akademik dan pembangunan diri murid.
Program ini diadakan dengan tujuan memperkasakan kemahiran berbahasa dalam kalangan pelajar, khususnya dalam aspek komunikasi, penulisan kreatif, dan apresiasi kesusasteraan. Pelbagai aktiviti interaktif telah dijalankan, antaranya bengkel penulisan, pertandingan pidato, deklamasi sajak, dan forum bahasa.
Penganjuran program ini turut menjadi platform kerjasama antara sekolah dalam usaha melahirkan generasi muda yang berwibawa, kreatif dan mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
Dengan sokongan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Penyu serta warga pendidik setempat, Perkampungan Bahasa Bitara ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai wahana melahirkan pelajar yang cintakan bahasa dan budaya bangsa.