AKTIVITI / PROGRAM
AKTIVITI / PROGRAM
Kuala Penyu, 10 September – Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Sekolah Rendah Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 telah berlangsung dengan penuh meriah dan jayanya. Pertandingan ini dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Penyu serta SK Pekan Kuala Penyu selaku sekolah pengelola.
Pertandingan peringkat negeri ini berlangsung dalam dua fasa, iaitu secara dalam talian pada 3 September 2025 dan secara bersemuka pada 9 hingga 10 September 2025 bertempat di SK Pekan Kuala Penyu. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Suntik bin Tuin, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Penyu.
Sebanyak 20 pasukan melibatkan 100 orang murid telah berentap dalam talian, manakala 8 pasukan terbaik telah layak bertanding secara bersemuka. Pasukan yang terpilih mewakili Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) ialah PPD Tawau, PPD Semporna, PPD Kunak, PPD Kinabatangan, PPD Sandakan, PPD Ranau, PPD Keningau dan PPD Sipitang.
Pertandingan akhir menyaksikan persaingan sengit antara pasukan yang bertanding, namun keunggulan nyata memihak kepada PPD Sandakan yang muncul sebagai juara. Dengan kemenangan ini, PPD Sandakan akan mewakili Negeri Sabah ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober 2025 di Negeri Perlis.
Pertandingan ini bukan sahaja mengasah bakat kepimpinan, kemahiran berhujah serta keyakinan diri murid, malah menjadi wadah penting dalam melahirkan generasi yang celik ilmu dan berfikiran kritis selaras dengan aspirasi pendidikan negara.