Kota Kinabalu, 4 Februari 2025 – Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Penyu sekali lagi membuktikan kecemerlangannya apabila dinobatkan sebagai Johan dalam kategori Pencapaian Terbaik CGPA PAJSK (Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum) bagi kategori Sekolah Rendah sempena Majlis Anugerah Pamer Keunggulan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024.
Majlis yang berlangsung di Hotel 7 Suria, Kota Kinabalu ini merupakan acara tahunan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bagi memberi pengiktirafan kepada pencapaian terbaik dalam pelbagai bidang pengurusan dan pelaksanaan pendidikan.
Kemenangan ini melambangkan kejayaan berterusan PPD Kuala Penyu dalam memastikan pelaksanaan PAJSK di sekolah rendah di bawah pentadbirannya dilaksanakan dengan teratur, menyeluruh dan memberi impak positif kepada perkembangan sahsiah, jasmani dan kokurikulum murid.
Anugerah disampaikan oleh Datuk Haji Raisin bin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, yang turut menyampaikan penghargaan kepada semua PPD yang terlibat dalam menjayakan sistem pendidikan negeri dengan cemerlang.
Kecemerlangan ini sekali gus menjadi pemangkin semangat kepada semua warga PPD Kuala Penyu untuk terus meningkatkan kualiti pendidikan luar bilik darjah sebagai sebahagian penting dalam pembentukan insan holistik.
Seterusnya...