Kota Kinabalu, 4 Februari 2025 – Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Menumbok, Kuala Penyu terus mengukir nama apabila merangkul Anugerah Pencapaian Terbaik Pengelolaan Program Peringkat Antarabangsa Secara Bersemuka sempena Majlis Anugerah Pamer Keunggulan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 yang berlangsung di Hotel 7 Suria, Kota Kinabalu.
Pengiktirafan ini diberikan atas kejayaan penganjuran Program STEM Exploration Camp Kuala Penyu Tahun 2024, yang melibatkan penyertaan dan kerjasama peringkat antarabangsa secara fizikal. Program ini bukan sahaja memperkukuh minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), tetapi juga membuka ruang kepada interaksi global dan pembelajaran rentas budaya.
Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Datuk Haji Raisin bin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, yang menyifatkan pencapaian ini sebagai simbol kecemerlangan dalam pengurusan program bertaraf dunia oleh sekolah luar bandar.
Kejayaan ini menunjukkan bahawa sekolah di kawasan pedalaman juga mampu melaksanakan program berimpak tinggi dengan standard antarabangsa, sekali gus memperkukuh matlamat pendidikan berkualiti dan holistik untuk semua.